KUALA LUMPIUR – Kerajaan Persekutuan perlu segera mengemukakan cadangan penggantian pembangunan infrastruktur pengangkutan.
Ini susulan penamatan perjanjian dua hala projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negeri Johor dan meningkatkan kesalinghubungan serantau.
Barisan ahli pembangkang Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan pembangunan jaringan infrakstruktur pengangkutan di kawasan terlibat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam masa terdekat.
Katanya, Johor menjadi penyumbang keempat dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan dengan nilai kira-kira RM134 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Namun begitu, ujar mereka, jaringan infrastruktur pengangkutan tidak menterjemahkan sumbangan pacuan ekonomi berkenaan.
Malah, kelemahan jaringan sistem pengangkutan di Johor telah ditekankan menjadi teras dan tumpuan kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 yang memangkin pembangunan ekonomi berdaya tahan.
“Ini sekali gus memberi limpahan kemakmuran kepada Johor dalam tempoh 10 tahun mendatang.
“Koridor pantai barat yang merangkumkan daerah Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat dan Muar memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri ini.
“Bagaimanapun, infrastruktur pengangkutan yang terkebelakang di kawasan tersebut secara tidak langsung merencatkan usaha untuk mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (IKS),” kata kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh lima ADUN Johor, di sini, semalam.
Lima ADUN itu ialah Tan Hong Pin DUN Skudai, Chew Chong Sin (Mengkibol), Yeo Tung Siong (Pekan Nenas), Ng Yak Howe (Bentayan) dan Gan Peck Cheng (Penggaram).

Menurut mereka, lantaran penamatan perjanjian HSR itu, jaringan infrastruktur pengangkutan negeri Johor perlu disegerakan bagi memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi.
Jelas mereka, Laluan Persekutuan 5 dan Lebuhraya Utara-Selatan dua lorong di Johor kebanyakannya tidak lagi mampu menampung keperluan, malah merencatkan pengurusan logistik akibat perlu menghadapi masalah kesesakan yang serius.
Dalam pada itu, ADUN berkenaan menyatakan, umum ketahui sebarang penjajaran semula projek HSR tanpa melibatkan Singapura dan berakhir di Johor Bahru dibimbangi bakal menjadi projek gajah putih kerana tiada sebarang daya tarikan dan impak ekonomi serantau.
“Perlu dijelaskan daya tarikan utama projek HSR adalah menjimatkan masa pengangkutan penumpang melalui pengenalan sistem pemeriksaan rentas sempadan bersepadu.
“Seramai lapan orang anak Johor menganggotai jemaah menteri dan timbalan menteri di peringkat Persekutuan perlu memainkan peranan dan mengambil peluang untuk menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan segera langkah transformasi jaringan infrastruktur pengangkutan di negeri ini.
“Kita juga mendesak kerajaan untuk merancang dan melaksanakan langkah menaiktaraf di jaringan infrastruktur sedia ada dalam meningkatkan kecekapan logistik dan kesalinghubungan ekonomi serantau, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang pesat,” katanya. – MalaysiaGazette
















