KUALA LUMPUR – Perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dua tahun lalu menuntut UMNO untuk melakukan transformasi dan pembaharuan.
Antara perubahan perlu dilakukan ialah dari segi pendekatan, nilai dan sikap kepimpinan demi memulih serta memperkukuhkan kepercayaan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday, pemimpin boleh pergi dan datang bila-bila masa tetapi parti tetap wujud selama-lamanya.
“Oleh itu sayap UMNO seperti Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri perlu melihat kepentingan parti sebagai keutamaan, dengan mementingkan usaha untuk mengukuhkan institusi parti, berbanding pemimpin.
“Parti mesti kuat dan kukuh demi memastikan maruah bangsa terus terjamin,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kluang di Johor, semalam.
Md. Jais yang juga Bendahari Perhubungan UMNO Johor berkata, UMNO adalah sebuah parti keramat orang Melayu sarat dengan perjuangan yang diwarisi dari pengasasnya serta mereka yang terdahulu.
Katanya, tugas Pemuda dan Puteri, termasuk Wanita sebagai pewaris ialah memastikan parti diurus dengan baik supaya sentiasa diterima kehadirannya oleh masyarakat selama-lamanya.
“Saya harap, pesanan ini akan menjadi semangat kepada Pemuda dan Puteri untuk menggalas tanggungjawab dalam meneruskan usaha memperkasakan UMNO, seterusnya bangkit dan kembali sebagai pengurus negara serta negeri pada PRU-15 nanti.
“Sebelum itu, mereka perlu belajar dan memahami isu politik kerana politik ini wujud sejak sebelum adanya tamadun manusia lagi,” katanya. – MalaysiaGazette
















