Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di Georgetown dan Shah Alam esok berikutan daripada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pengurusan premis untuk menjalankan proses disinfeksi dan sanitasi.
Penutupan itu dibuat selepas beberapa anggota disahkan positif Covid-19.
KWSP Georgetown akan ditutup selama dua hari dan dibuka semula pada hari Rabu, 6 Januari 2021, sementara KWSP Shah Alam akan ditutup selama satu hari dan dibuka semula pada hari Selasa, 5 Januari 2021.
Selain itu, KWSP Kota Kinabalu akan dibuka semula bermula Isnin, 4 Januari 2021 selepas ditutup pada 31 Disember 2020.
Ahli-ahli yang telah membuat janji temu di cawangan-cawangan yang terkesan bagi tempoh ini dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online.
Ahli juga boleh berurusan dengan mana-mana cawangan KWSP lain yang masih beroperasi seperti biasa atau melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun.
KWSP juga telah mengambil langkah perlu untuk menjaga kesihatan dan keselamatan anggota dan orang ramai. Semua anggota perkhidmatan cawangan-cawangan yang terkesan akan menjalani ujian swab COVID-19 dan jika didapati positif, akan mematuhi tempoh kuarantin wajib selama 10 hari mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – MalaysiaGazette