Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Satu pasukan petugas khas sukarelawan bantuan banjir bakal digerakkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri-negeri dilanda banjir.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pasukan sukarelawan itu akan digerakkan serta merta dari seluruh tanahair.

Penubuhan pasukan itu tercetus selepas mengikuti rapat perkembangan negeri-negeri yang dilanda banjir dan simpati dengan nasib mereka yang terpaksa berpinda dan mengalami kerosakan harta benda, kekurangan makanan dan bertungkus-lumus menyelamatkan diri.

“Kehadiran mereka (task force) kelak akan menjadi jambatan penghubung bantuan dan meringankan beban saudara-saudara kita yang sedang dilanda musibah banjir.

“Saya menjangkakan seramai 1,650 orang sukarelawan task force sukarelawan bantuan banjir akan terlibat di dalam misi ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderiang dan Ahli Parlimen Tambun itu berkata, bantuan sukarelawan berkenaan itu diharap akan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa banjir.

“Pada masa yang sama task force bantuan banjir ini akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan setempat dan agensi pengurusan bencana banjir setempat serta pemimpin tempatan supaya segala skop bantuan yang dihulurkan ini tidak bertindan dan boleh di koordinasi dengan baik dan berkesan.

“Justeru, saya menyeru semua peringkat kepimpinan Bersatu berusaha sedaya upaya dan memberikan perhatian sepenuhnya di dalam memberikan bantuan yang sepatutnya kepada semua saudara-saudara kita yang kini sedang dilanda musibah banjir,” tegasnya.-MalaysiaGazette