KUALA LUMPUR – Dalam keadaan rakyat sedang terbeban dengan pandemik Covid-19 ditambah dengan banjir masih ada pemimpin masih galak berpolitik.
Malah tindak tanduk pemimpin UMNO yang begitu banyak bercakap tentang pilihan raya dan perebutan kerusi sungguh mengecewakan.
Ketua Bahagan Bersatu Bandar Tun Razak, Mohd. Shahni Ismail mengakui malu kerana perangai ditonjolkan segelintir pemimpin Melayu
“Tidak kasihan pada rakyat? Bukan sahaja pandemik Covid-19 telah menjejaskan kehidupan seharian mereka termasuklah keadaan ekonomi agak kronik tapi juga isu-isu lain saban hari.
“Tengok sahaja sejak beberapa hari lepas keadaan banjir, rakyat sebenarnya sedang merana tapi ada pula antara pemimpin politik sedang sibuk dengan kerusi dan kuasa.
“Tolonglah, cukuplah. Kami di Bersatu Bandar Tun Razak mohon sangat-sangat, tolonglah berganding bahu selesai isu rakyat terlebih dahulu sebelum perebutan kerusi, kita cuba ringankan dahulu penderitaan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette malam ini.
Hari ini ‘drama’ politik bersambung lagi apabila jawatan Tan Sri Annuar Musa ‘digugurkan’ dari jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan digantikan pula dengan Datuk Ahmad Maslan.
Ini didedahkan selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan mesyuarat khas bersama-sama 191 Ketua-Ketua Bahagian UMNO dari seluruh negara.
Manakala pucuk pimpinan MCA terkilan dengan laporan Annuar telah dipecat sebagai Setiausaha Agung BN tanpa sebarang perbicangan dengan parti komponen.- MalaysiaGazette
















