Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Seramai 194 individu ditahan dan telah dikenakan kompaun atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah membuat 40,389 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (84), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (74), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (25) dan lain-lain (11).” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 2,861 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,511 anggota telah membuat pemantauan di 3,388 pasar raya, 4,227 restoran serta 1,580 penjaja, 1,313 kilang, 3,133 bank dan 559 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 900 terminal pengangkutan darat, 233 terminal pengangkutan air serta 66 terminal pengangkutan udara,” ujarnya. – MalaysiaGazette