Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Setelah hampir empat tahun, Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh antara 27 Mei hingga 4 Jun ini bagi mendengar saman fitnah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terhadap Ketua UUMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos.

Perbicaraan itu berkaitan dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan negeri Selangor dan difailkan sejak empat tahun lalu.

Menurut peguam Teresa, Sankara Nair, prosiding itu akan diadakan dihadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon selama tujuh hari.

“Tarikh perbicaraan ditetapkan hari ini menerusi pengurusan kes secara maya di depan Quay,” katanya.

Manakala peguam, Mohammed Nasser Yusof pula mewakili Jamal.

Sebelum ini perbicaraan saman fitnah Teresa tertangguh selepas Jamal memfailkan permohonan membatalkannya di Mahkamah Rayuan pada tahun lalu namun gagal ditangguhkan.

Ketika itu, panel tiga hakim iaitu Datuk Suraya Othman, Datuk Has Zanah Mehat dan S. Nantha Balan turut memerintahkan Jamal membayar kos RM7,000 kepada pemimpin DAP itu.

Teresa yang juga pernah menjawat jawatan Menteri Industri sebelum ini memfailkan saman itu pada 6 April 2017 mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dalam sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam pernyataan tuntutannya, Teresa mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Teresa mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. -MalaysiaGazette