PASIR SALAK – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memperkenalkan sistem treking benih padi sah dikenali sebagai sistem TrekBPS bertujuan memantau aktiviti  pengedaran benih padi kepada pesawah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, menerusi sistem itu, ia dapat memastikan pesawah dibekalkan dengan benih padi yang sah bagi mengeluarkan hasil berkualiti seterusnya dijual pada harga berpatutan.

“Dengan sistem itu, beg benih padi tidak boleh ditukar oleh pembekal. Kita buat pendekatan ini bagi memastikan pesawah dilindungi dan mendapat benih padi yang sah dan harga satu beg benih tidak melebihi RM35.

“Ini pendekatan baharu yang diambil kementerian pada musim penanaman padi kali ini dan kita harapkan masalah ketiadaan benih, harga benih dan kualiti benih dapat diatasi,” katanya kepada pemberita selepas Program Agihan Benih Padi Sah dan Ziarah Peladang negeri Perak di Perkarangan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak, Chenderong Balai di sini semalam.

Pada Oktober lepas, kementerian telah melantik Nafas sebagai ejen tunggal bagi pengedaran benih padi sah kepada pesawah di seluruh Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Bisnes Sektor Awam, Nafas Saripol Baharin Karim berkata, sistem TrekBPS diwujudkan bagi mengesan dan memantau aktiviti pengedaran dan semua transaksi kewangan bermula dari pengeluar kepada ejen hingga kepada penerimaan oleh pesawah sebagai pengguna akhir.

Katanya, sistem secara digital yang menggunakan kod Quick Response (QR) itu dilihat lebih sistematik, telus dan secara langsung selain membekalkan label berciri keselamatan bagi tujuan perlindungan pembungkusan.

“Sistem itu juga adalah salah satu platform transaksi kewangan digital di dalam rantaian pengedaran benih padi sah untuk pengawalan harga, kualiti dan bekalan yang lebih berkesan,” katanya. – Bernama