Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mangsa-mangsa banjir yang kehilangan atau mengalami kerosakan dokumen penting seperti lesen memandu atau sijil geran kenderaan, usah risau.

Ini kerana, mereka boleh mendapat yang baharu daripada mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam kenyataan media hari ini, Ibu Pejabat JPJ Putrajaya berkata, pihaknya menyediakan Inisiatif Gantian Percuma Dokumen Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).

Katanya, Pelaksanaan inisiatif ‘touch point’ JPJ ini mensasarkan mangsa banjir yang
kehilangan dan kerosakan dokumen-dokumen penting JPJ seperti LKM, LMM atau VOC.

“Pemilik dokumen perlulah hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan salinan gantian.

“Bagi dokumen yang musnah atau hilang, pemilik perlulah membuat laporan polis dan mengemukakan laporan polis tersebut sebagai bukti kehilangan, bagi mendapatkan gantian dokumen baru dan segala kemudahan gantian ini adalah percuma berkuatkuasa serta-merta sehingga 15 April 2021,” kata JPJ Putrajaya dalam kenyataan itu.

Selain itu, ia juga memperkenalkan Pengaktifan Bersasar Mobile Unit JPJ, yang akan ditempatkan di kawasan terpilih khususnya di Pusat Pemindahan Sementara.

Dengan ini, penduduk setempat boleh mendapatkan perkhidmatan JPJ dengan lebih dekat, mudah dan selamat.

“JPJ amat prihatin terhadap masyarakat yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia,” ujarnya. -MalaysiaGazette