LONDON – Manchester United menyambut kedatangan pemain muda baharunya, Amad Diallo dari Kelab Serie A Itali, Atalanta semalam.

Dalam laman web rasminya www.manutd.com kelab itu mengumumkan penyertaan rasmi bintang muda yang digelar sebagai junior Messi ke Theatre of Dreams.

Bintang muda Ivory Coast memeterai kontrak bernilai £19 juta sehingga Jun 2025 dengan pilihan setahun lagi.

Perjanjian telah dicapai bersama pemain itu pada 5 Oktober lalu termasuk terma peribadi, permit kerja dan perubatan.

Dia terus beraksi bersama Atalanta untuk enam bulan pertama sehingga Januari ini sebelum berhijrah ke Manchester United.

Diallo baru berusia 18 tahun telah melakukan lima penampilan bersama pasukan utama Atalanta dan menjaringkan satu gol menentang Udinese pada Oktober 2019.

Pengurusnya Ole Gunnar Solskjaer berkata pihaknya memantau pemain itu untuk beberapa tahun yang lalu dan antara prospek muda terbaik di rantau Eropah.

“Manchester United mempunyai sejarah pembangunan pemain belia dan muda dan kini Diallo mempunyai segala peluang untuk menyinar bersama kelab ini.

“Akan memakan masa untuk Diallo menyesuaikan diri dengan skuad dan persekitaran EPL tetapi kelajuan, kelincahan, visi dan keupayaan gelecek bola atas padang akan membantu dia menjadi matang dan melangkah jauh bersama legasi kelab ini.

“Tidak dinafikan dia bakal menyinar bersama kelab untuk tahun-tahun akan datang,” tegasnya.

Diallo juga meluahkan rasa keterujaannya selepas melengkapkan perpindahan ke Old Trafford semalam.

Buat kali terakhir sebelum bertolak dari Milan, dia memuatnaik mesej selamat tinggal kepada kelab Atalanta yang membina dia dari kecil.

“Tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kamu Atalanta untuk segala bimbingan dan kasih sayang yang mahu tunjukkan untuk saya membesar bersama bola sepak.

“Tetapi saya juga gembira kerana impian menjadi kenyataan menyertai the Red Devils. Saya tahu telah menyertai kelab terbaik dunia selepas berbincang dengan pengurus kelab (Solskjaer).

“Saya menyertai pasukan terbaik dengan dianggotai ramai pemain terbaik, apa yang saya boleh janjikan adalah akan bekerja keras setiap hari dan memberikan yang terbaik di atas padang.

“Nasihat jurulatih sudah pasti meningkatkan semangat saya dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi liga Inggeris,” tegasnya. – MalaysiaGazette