Mourhrna Reddy. foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Ramai tidak boleh menerima apabila seorang ketua menteri sanggup membeli kereta mewah berharga setengah juta dalam keadaan rakyat di negara ini merana dalam meneruskan kehidupan.

Itu luahan jurucakap Gerakan, Mourhrna Reddy mengulas tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang baharu memperoleh Mercedes Benz S560e bernilai RM458,000 sebagai kenderaan rasminya.

Isu itu juga menjadi kritikan warga Pulau Pinang terutamanya dalam kalangan netizen yang cukup kecewa dan mempertikaikan  kerana peruntukan awam digunakan untuk keselesaan sesetengah  ahli politik.

“Saya tidak cakap sebagai seorang Ketua Menteri anda tidak layak untuk ada kenderaan rasmi mewah seperti itu, itu sememangnya hak anda tapi apakah ianya satu keperluan pada masa pandemik Covid-19 dan ekonomi ini?

“Lagi-lagi apabila anda dari sebuah parti yang banyak berbicara tentang kemelesetan ekonomi dan penderitaan rakyat. Ini pula berlaku di negeri kamu sendiri.

“Ingat lagi cerita seorang pengawal keselamatan, S. Ganesh yang terpaksa tinggal dalam kereta selama lapan bulan? Bantuan hanya tiba selepas media memaparkan kesengsaraan itu. Itu hanya salah satu cerita, ada banyak lagi bukan?

“Anda pula sanggup berbelanja setengah juta untuk kereta dinaiki oleh anda? Bagaimana pula dengan kesengsaraan rakyat lagi-lagi pada masa ini? Saya tidak faham langsung terutamanya dari parti prihatin rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Walaupun DAP tampil mendakwa adanya penjimatan hampir RM128,000 atas pembelian kenderaan berkenaan namun tidaklah sehingga ketika kekangan kewangan teruk dalam kalangan rakyat.

Beberapa ahli politik kawan dan lawan sudah tampil mengecam tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang menukar kenderaan rasmi itu termasuklah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Kritikan ini timbul apabila sebelum ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tampil mengecam pembelian kereta Pas Kelantan kononnya tidak prihatin kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Mourhrna membuat kiraan mudah bagi memberi gambaran apakah kebaikan yang boleh dilakukan oleh pemimpin nombor satu negeri itu bagi membantu rakyat menggunakan dana tersebut.

“Hakikatnya setengah juta duit besar yang boleh menampung 500 keluarga untuk satu bulan dengan bantuan RM1,000 malah kerajaan negeri boleh merangsangkan ekonomi setempat dengan pemberian RM1,000 sebagai pinjaman mikro kepada 500 peniaga atau perniagaan kecilan.

“Macam-macam boleh dilakukan sebenarnya. Peruntukanlah setengah juta dari kerajaan negeri sebagai pakej bantuan negeri segera untuk membantu warga negeri yang memerlukan seperti S. Ganesh dan ramai lagi warga susah di negeri anda.

“Tindakan membeli kereta mewah pada masa ini sememangnya menimbulkan pelbagai persoalan bagaimana secara realitinya kebajikan rakyat perlu menjadi fokus tetapi secara retorik ianya hanya mainan bibir segelintir ahli politik.- MalaysiaGazette