Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan berhubung kes sindiket kartel penyeludupan daging sejuk beku dari luar negara yang diragui status halalnya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Komisioner Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ketika ini siasatan dalam kes itu sedang dikemaskini sebelum dikemukakan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Jumlah laporan polis yang kita terima membabitkan kes kartel daging sejuk beku merekodkan pertambahan hampir setiap hari. Ada lagi beberapa tindakan oleh pegawai penyiasat sedang mendapatkan keterangan lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan kes ini.

“Berikan sedikit masa kepada pegawai saya untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan teliti dan lengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku sejarah penubuhan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Batalion 4,5,6 dan 19 di Ibu Pejabat Briged Tengah PGA, Cheras hari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran ialah Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar dan Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim.

Tambah Acryl Sani, pihaknya telah membuka kertas siasatan kes kartel daging sejuk beku itu di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran orang awam.

Sebelum ini pada 1 Januari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, jumlah laporan yang diterima pihaknya membabitkan kartel penyeludupan daging sejuk beku itu sudah mencecah sebanyak 29 laporan polis.

Kesemua laporan polis itu dibuat di beberapa negeri iaitu lima laporan polis diterima di Kuala Lumpur, Perak (5 laporan), Melaka (4) tiga laporan polis msing-masing di Johor dan Kedah manakala dua lagi laporan masing-masing di Kelantan dan Selangor.

Laporan selebihnya iaitu empat laporan lagi, kata beliau diterima masing-masing satu di Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Pulau Pinang.- MalaysiaGazette