Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pasaran saham tempatan dijangka diniagakan tinggi minggu depan di tengah-tengah sentimen pasaran yang berhati-hati dengan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal di atas paras 1,600.

Penganalisis kanan pasaran OANDA Jeffrey Halley menjangka Bursa Malaysia dan ekuiti di seluruh dunia diniagakan tinggi minggu depan mendapat rangsangan daripada harapan lebih banyak pakej rangsangan Amerika Syarikat (AS) dan perbelanjaan prasarana berskala besar.

Beliau berkata, pengesahan pilihan raya Georgia dan pilihan raya presiden AS juga menghapuskan risiko-risiko utama kepada pemulihan perdagangan global.

“Ia dibuktikan pada Jumaat, selepas KLCI bergerak rendah semasa semasa sesi pagi, dan ramai pembeli yang mencari saham berharga rendah di pasaran membangun pada masa ini.

“Pergerakan harga (pada Jumaat) membayangkan ekuiti serantau berada di landasan untuk bergerak tinggi pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Halley mengunjurkan KLCI bergerak dalam jajaran paras 1,660 pada awalnya dan kemungkinan meneruskan kenaikan ke paras 1,680.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim menjangka FBM KLCI kekal dalam jajaran kecil minggu depan, didagangkan dalam jajaran antara 1,630 dan 1,640 apabila para pelabur merasa bimbang sama ada perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dikenakan semula.

“Jika PKP dilaksanakan sekali lagi, jualan dijangka berlaku di Bursa Malaysia yang boleh menyebabkan bursa tempatan jatuh di bawah paras 1,600 mata,” katanya.

Bagi asas Khamis-hingga-Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI meningkat 5.98 mata kepada 1,633.19 daripada 1,627.21 pada minggu sebelumnya.

Sentimen pasaran kebanyakannya tertumpu kepada lonjakan semula kes COVID-19, ketibaan vaksin, kebimbangan kemungkinan sekatan pergerakan, harga komoditi, langkah Suruhanjaya Sekuriti menamatkan penggantungan jualan singkat dikawal selia (RSS) dan pengundian dewan Senat Georgia.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 124.48 mata kepada 11,637.45, Indeks FBMT 100 susut 94.18 mata kepada 11,417.81, FBM 70 berkurangan 654.73 mata kepada 14,488.11, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 5.21 mata kepada 13,153.94 dan Indeks FBM ACE turun 237.28 mata kepada 10,497.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 308.44 mata kepada 15,008.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 3.53 mata kepada 174.58 manakala Indeks Perladangan meningkat 115.45 mata kepada 7,418.29.

Indeks Tenaga turun 52.13 mata kepada 844.26, Indeks Penjagaan Kesihatan susut  56.24 mata kepada 3,627.79 dan Indeks Teknologi jatuh 3.0 mata kepada 66.72.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 37.9 bilion unit bernilai RM26.49 bilion daripada 31.20 bilion unit bernilai RM14.88 bilionpada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 22.51 bilion saham bernilai RM21.52 bilion daripada 18.76 bilion saham bernilai RM12.5 bilion.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 2.56 bilion unit bernilai RM373.54 juta daripada 1.61 billon unit bernilai RM264.98 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 12.91 bilion saham bernilai RM4.59 bilion daripada 10.83 bilion saham bernilai RM3.11 bilion sebelumnya. – MalaysiaGazette