Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Datuk Seri Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerusi Timbalan Presiden penajanya, Datuk Marzuki Yahya telah mengemukakan rayuan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk mendapat kelulusan penubuhan parti itu.

Surat rayuan itu yang diserahkan semalam kepada RoS mengandungi dokumen lengkap sebagaimana diminta oleh jabatan berkenaan, supaya tidak ada alasan lagi permohonan itu ditolak.

Menurut Presiden penaja Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mereka telah mengikut segala arahan serta apa yang diminta oleh RoS selepas permohonan parti itu ditolak dengan alasan permohonan yang diterima didapati “tidak teratur”.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, surat itu telah diserahkan sendiri kepada pendaftar yang baharu dilantik di RoS kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Kita telah mengambil tindakan susulan mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan berharap RoS dapat pertimbangkan semula permohonan ini.

“Dalam surat rayuan kini, kita mengemukakan sekali jawapan berhubung persoalan yang dibangkitkan RoS kenapa permohonan kami ditolak,” katanya dalam satu majlis di Jerlun, Kedah, hari ini.

Khamis lalu, RoS menolak permohonan Pejuang yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, untuk mendaftar parti itu sebagai sebuah parti politik.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Pejuang berkata, RoS telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah mengenai penolakan permohonan itu pada jam 5.50 petang, atas alasan pendaftarannya dibuat secara tidak teratus.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, Pejuang telah mengemaskini permohonan agar tidak berlaku perkara berbangkit dan ditolak sekali lagi.

Beliau bagaimanapun, tidak menolak andaian penolakan parti itu ada campur tangan politik kerana bimbang Pejuang bakal memberi ancaman kepada parti lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast