Jalan bandar Temerloh ke Triang terpaksa ditutup untuk kegunaan penduduk setempat akibat seluruh kawasan dinaiki air berikutan banjir yang melibatkan limpahan air Sungai Pahang ketika di sekitar Temerloh. foto MOHD ADZLAN, 09 JANUARI 2021.

Kukuh sampan dari meranti,
Penat mudik dari muara;
Kalau mulut tidak sehati,
Papan yang basah terbakar jua.

Negara kita sedang mengalami bencana alam yang melibatkan negeri Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Perak secara umumnya. Bencana kali ini dilihat lebih buruk bahkan diukur terburuk dalam 10 tahun.

Lebih parah, bencana ini melanda dalam situasi getir ketika penularan wabak Covid-19 masih belum berakhir di mana penjarakan fizikal dan pematuhan SOP tertentu adalah kritikal dalam membendung serta menurunkan graf wabak tersebut.

Hari ini kita dikejutkan apabila kadar jangkitan kes harian naik mendadak mencecah 3,000 kes dengan 25,000 kes aktif di seluruh Malaysia. Peningkatan kes saban hari dilihat semakin serius dan merisaukan apatah lagi tahap keupayaan pihak berkuasa kesihatan semakin teruji.

Bayangkan mereka yang sudah sebulan tidak dapat memohon cuti bagi bersama anak-anak mahupun berjumpa ibu bapa di kampung saat orang lain dapat merentas negeri bagi melakukan hal yang sama. Perkara sebegini sebenarnya telah memberi suatu tekanan emosi yang tinggi terhadap pasukan kesihatan dan keselamatan negara.

GAMIS ingin mengucapkan terima kasih atas pengorbanan anda serta terus mendoakan kesejahteraan Malaysia dan pasukan kesihatan serta keselamatan termasuklah ahli keluarga mereka sentiasa dijaga dan dilindungi.

Namun begitu, pengorbanan ini tampak begitu murah dan tidak bernilai bagi sesetengah pihak. Tindakan mereka yang sengaja menimbulkan kekacauan politik ketika kestabilan politik sangat dituntut bagi mengurangkan beban kegawatan ekonomi global adalah sangat mengecewakan.

Ahli politik perlu mengambil iktibar akan kesan yang telah terjadi kepada negeri di bawah bayu selepas pemilihan wakil rakyatnya. Berapa banyak nyawa lagi yang harus dikorbankan?

Pengenalan dasar-dasar ekonomi yang lemah serta tidak banyak pembaharuan dalam situasi getir Covid-19 ini memperlihat bahawa kerajaan memerlukan pakar ekonomi yang boleh bergerak dengan tekanan politik yang minimum. Negara kita memerlukan dana bagi membangunkan ekonomi rakyat, bukan dana dan peruntukan bagi parti politik untuk berpolitik apatah lagi untuk pilihan raya.

Kegagalan kerajaan melaksanakan apa yang diungkapkan sebagaimana penggulungan perbahasan belanjawan tempoh hari menunjukkan kelemahan kerajaan hari ini walaupun dengan bilangan menteri terbesar dalam sejarah.

GAMIS menyeru pihak kerajaan yang terdiri daripada komponen Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional agar berjiwa besar. Bertindak sebagaimana yang diucapkan kepada rakyat. Daripada rakyat kepada rakyat, ini merupakan suatu ungkapan paling romantis politik hari ini namun paling sukar dibuktikan.

Ingatlah, rakyat sedang memerhati.

"MEMIMPIN KEBANGKITAN MAHASISWA"

Muhammad Arif Hakimi Maludin
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) 2021

1 Komen

Comments are closed.