KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan 2021 tetap bermula pada 20 Januari ini walaupun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di beberapa negeri bermula esok.

Bagaimanapun sesi itu hanya untuk para pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, selain daripada itu,  para pelajar di kawasan PKP juga akan melaksanakan pembelajaran di rumah sepanjang tempoh tersebut.

“Bagi sekolah yang berada dalam kawasan PKP, hanya murid-murid yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, SKM, STPM, STAM, DVM dan juga peperiksaan antarabangsa setara.

“Pelajar sekolah rendah pula, mereka akan melaksanakan pembelajaran di rumah manakala murid sekolah menengah tingkatan 1 hingga 4 di negeri PKP akan melaksanakan pembelajaran di rumah,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Sambung Radzi, untuk pelajar Kolej Vokasional Semester Dua Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 juga akan mengikuti pembelajaran di rumah.

“Bagi pelajar sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan akan dibenarkan pulang ke asrama mjulai 16 Januari ini.

Jelas beliau, surat kebenaran akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada murid bagi membolehkan mereka merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah seperti biasa.

Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM dan semua kategori pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim masing-masing. -MalaysiaGazette