Puteri Sarah (tengah) bersama peminat ketika pelancaran kedai emas Siti Jewels, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – YBS Retail Precious Sdn. Bhd. yang membawa jenama Siti Jewels iaitu kedai emas dimiliki 100 peratus bumiputera kini memperkenalkan cawangan baharu di Dataran Perniagaan Cheras di Cheras, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Siti Jewels, Mohamad Hafiz Elias berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan imej jenama Siti Jewels dengan merangka pelbagai strategi pemasaran pada tahun ini.

Jelas beliau, antaranya cawangan baharu di Dataran Cheras yang merupakan cawangan sulung yang memberi peluang kepada pengunjung khususnya di Lembah Klang untuk mendapatkan rekaan barangan kemas terbaharu Siti Jewels.

“Selain mendapatkan rekaan perhiasan terkini, Siti Jewels turut menawarkan perkhidmatan  membaiki barang kemas rosak termasuk servis pemuliharaan bagi mengembalikan seri barangan kemas lama terutama yang dihadiahkan oleh orang tersayang.

“Malah pelanggan yang berjaya menjadi pembeli terawal berpeluang memenangi hadiah berupa sebentuk Loket Emas serta hamper dan kotak barang kemas eksklusif.

“Lebih menarik, pengunjung yang mengunjungi kedai Siti Jewels berpeluang menikmati promosi menarik termasuk harga tanpa upah yang semestinya diadakan pada setiap bulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, pelancaran cawangan Dataran Cheras itu berlangsung meriah baru-baru ini dengan kehadiran orang ramai yang diserikan oleh kemunculan selebriti tempatan, Puteri Sarah Liyana yang turut dilantik duta rasmi Siti Jewels.

Pengunjung yang hadir tadi turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuklah cabutan bertuah dan hadiah percuma.

Selain itu, pengunjung kedai Siti Jewels tadi juga berpeluang melihat dan membeli pelbagai produk barangan perhiasan emas 916 dengan rekabentuk eksklusif dan mewah yang menjadi idaman wanita di Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafuz berkata, Siti Jewels juga menawarkan pembelian barangan perhiasan emas secara dalam talian bagi pengguna yang memilih untuk membeli produk Siti Jewels di mana-mana sahaja di seluruh negara dengan jaminan keselamatan penghantaran kepada pelanggan.

Justeru, kata beliau perkhidmatan itu menjadi antara batu loncatan bagi Siti Jewels menaikkan jenamanya dalam pasaran bersama dengan pemain industri terkemuka di Malaysia.

Dalam pada itu, Siti Jewels adalah sebuah nama yang diinspirasi daripada nama bonda dan adinda  kesayangan kepada pemilik YBS Retail Precious iaitu, Siti Simciah dan Siti Aisyah.

Malah, penggunaan nama itu adalah bagi mendekatkan pengguna yang majoritinya dalam kalangan bumiputera kepada sebuah kedai yang juga dimiliki bumiputera.

Antara usaha lain untuk meningkatkan jenama, Siti Jewels merancang untuk memperkenalkan ‘merchandise’ di bawah jenama sama khusus buat pelanggan Siti Jewels.

Oleh demikian, peminat barangan emas yang berminat mengikuti perkembangan pengeluaran rekaan unik keluaran Siti Jewels atau ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh layari laman Facebook rasmi Siti Jewels atau Instagram, @sitijewels. – MalaysiaGazette