Steven Sim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mendakwa terdapat percanggahan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan darurat yang diisytiharkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun PKP 2 dilaksanakan tapi jauh lebih longgar berbanding PKP 1.0

Malah, di bawah PKP 2.0, kebanyakan sektor dibenarkan untuk beroperasi, malah sukan dibenarkan walaupun pada tahap minimum.

Pejabat kerajaan dan sekolah juga dibenarkan, termasuk tadika dan sebagainya.

Soalnya, bagaimana kerajaan hendak mencapai keberkesanan PKP 1.0 jika SOP yang dikenakan kini jauh lebih longgar.

Contohnya, dalam PKP 2.0, kebanyakan sektor ekonomi termasuk kilang-kilang tetap dibenarkan untuk terus beroperasi, sedangkan beberapa kluster besar melibatkan tempat kerja seperti kilang telah menyebabkan penularan Covid-19 ke dalam komuniti secara meluas.

”Apa sebenarnya yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui PKP 2.0? Darurat diisytiharkan, tapi PKP tidak dilaksanakan secara maksimum,” katanya dalam kenyataan di sini.

Soal Sim lagi, Perdana Menteri menyatakan melalui darurat, Kerajaan boleh mewujudkan rrdinan supaya tugas kerajaan untuk membendung wabak dapat dijalankan, soal apakah dengan undang-undang sedia ada termasuk PKP, menghalang kerajaan daripada menjalankan tugas melawan wabak.

Dan yang lebih pelik lagi, ujarnya ialah, jika PKP 2.0 pun jauh lebih longgar berbanding PKP 1.0, apa keperluannya untuk melaksanakan darurat seluruh negara.

Hujah beliau, jika darurat diumumkan untuk elak PRU, tapi majoriti Ahli Parlimen tidak mahu PRU

Jelasnya, semua parti dan wakil rakyat pembangkang, terutamanya Pakatan Harapan, sejak tahun lepas lagi telah menegaskan agar kerajaan tidak melaksanakan PRU jika wabak belum berjaya dibendung.

Setakat ini, nampaknya hanya UMNO sahaja yang menuntut PRU diadakan secepat mungkin, itupun bukan semua Ahli Parlimen UMNO yang bersetuju kerana sebahagian Ahli Parlimen UMNO yang diberi jawatan oleh Perdana Menteri lebih cenderung menyokong pendirian Perdana Menteri untuk tidak mengadakan PRU buat masa ini.

”Jadi, siapa yang mahukan PRU? Jawapannya hanya segelintir sahaja Ahli Parlimen berbanding majoriti besar Ahli Parlimen yang lain.

”Malah nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU terletak di bawah keputusan Perdana Menteri sendiri dan bukan pada Ahli Parlimen atau mana-mana parti politik,” jelasnya.

Menurutnya lagi, langkah darurat yang menggantung fungsi legislatif, tapi eksekutif dan kehakiman dibenarkan terus berfungsi jelas satu tindakan yang mementingkan diri untuk mengekalkan jawatan perdana menteri apabila sudah kehilangan sokongan Ahli Parlimen.

Perdana Menteri khuatir jika Parlimen dibenarkan bersidang, kehilangan sokongan terhadap beliau akan didedahkan.

”Daripada mengembleng dan menyatupadukan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk usaha melawan Covid-19, perdana menteri begitu taksub bermain politik dan mengorak strategi untuk kekal berkuasa,” dakwa Sim sambil menambah
darurat dilaksanakan dengan hanya satu tujuan sahaja, iaitu untuk melindungi jawatan perdana menteri.

Soalnya, jika darurat bertujuan untuk melindungi perdana menteri, maka adakah kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meratakan lengkung pandemik kerana PKP 2.0 yang jauh lebih longgar dan tanpa strategi jelas untuk memperkasakan sistem penjagaan kesihatan awam bagi memastikan kerja-kerja penyaringan, pengesanan dan perawatan Covid-19 berjalan lancar.

Sepatutnya, Muhyiddin harus segera memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan situasi Covid-19 yang semakin meruncing dan bukan menggantung Parlimen

”Ahli-ahli Parlimen telah sebulat suara menyokong dua Rang Undang-Undang Covid-19 pada sidang tahun lepas, malah barisan pembangkang telah menggesa kerajaan untuk menambahkan lagi peruntukkan bagi melawan Covid-19.

”Beberapa langkah membantu rakyat seperti pelanjutan moratorium pinjaman bank, moratorium PTPTN, pengeluaran KWSP dan sebagainya telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen kedua-dua belah semasa sidang Parlimen.

”Justeru, Perdana Menteri tidak perlu bimbang bahawa kami sebagai wakil rakyat akan menggugat atau merosakkan sebarang usaha melindungi rakyat Malaysia daripada wabak Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Persidangan parlimen di era darurat kali ini.

    Tak boleh dinafikan peranan parlimen dlm negara demokrasi spt Msia.

    Namun begitu jika kita imbas kembali peristiwa2 dan cara perbahasan di parlimen kita dimutakir ini, yg penuh dgn jerit pekit, caci mencaci, kata mengata, tuduh menuduh dan sebagainya…..ada kah itu menyuburkan amalan sistem demokrasi berpalimen utk membolehkan suara rakyat disuarakan, didengar dan dibahas bagi faedah rakyat itu sendiri?

    Malah yang paling muak apabila majoriti ahli2 parlimen lebih banyak “berpolitik” dan memihak kpd masalah yg dihadapi individu2 tertentu dari menyuarakan masalah rakyat dan negara.

    Oleh kerana itu, sesuai dengan keadaan sekarang di mana negara menghadapi pelbagai masalah ekoran penularan wabak pendomik coved-19 dan kesan yang tertanggung oleh rakyar khususnya, maka adalah sesuai negara kita diletak dalam undang2 darurat serta persidangan parlimen ditiadakan dalam jangka waktu ini.

    Sekarang adalah masa utk “bekerja” bagi membantu rakyat yg terkesan serta memulihkan ekonomi negara secara bersungguh2.

    Ini dok asyik berpolitik yg tak berkesudahan – apa kebaikannya.

    Jika dibangkitkan implikasi perundangan mengenainya, biar lah mereka yg pakar menyelesaikannya dari menyerahkannya kpd ahli2 politik yang dilihat lebih kpd kepentingan diri semata2.

    Balas

Comments are closed.