Pesawat Pakistan International Airlines

ISLAMABAD – Sebuah pesawat Pakistan International Airlines (PIA) ditahan pihak berkuasa Malaysia berikutan pertikaian kes mahkamah di Britain, kata syarikat penerbangan itu sambil menambah ia akan mengendalikan perkara tersebut menerusi saluran diplomatik.

Pesawat Boeing, B777 itu ditahan selepas arahan mahkamah dikeluarkan, kata jurucakap syarikat penerbangan itu, lapor Reuters.

Perjalanan penumpang ke Pakistan diaturkan semula.

“Sebuah pesawat PIA telah ditahan oleh mahkamah tempatan di Malaysia yang membuat keputusan sebelah pihak berkaitan satu pertikaian perundangan antara PIA dan satu pihak di mahkamah UK (United Kingdom) yang belum selesai,” kata seorang jurucakap PIA dalam kenyataan.

Syarikat penerbangan itu, dalam satu kenyataan, menyifatkan situasi tersebut sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan berkata, ia telah meminta sokongan kerajaan Pakistan untuk mengutarakan masalah tersebut menerusi saluran diplomatik.

Syarikat tersebut tidak menyatakan di mana pesawat terbabit ditahan.

Jurucakap tersebut memberitahu Reuters bahawa perkara tersebut berkaitan dengan kes timbang tara mengenai pembayaran yang didengar di mahkamah UK.

Butiran lanjut mengenai kes itu tidak diperolehi.

Pihak berkuasa Malaysia tidak mengulas mengenai permintaan yang dilakukan.

Dengan kerugian terkumpul lebih AS$4 bilion (RM16.5 bilion), PIA bergelut dengan masalah kewangan selepas penerbangannya digantung pada tahun lalu akibat penularan Covid-19.

Selepas menyambung semula operasi pada Mei lalu, sebuah pesawatnya terhempas di Karachi menyebabkan 97 daripada 99 penumpang terbunuh.

Industri penerbangan Pakistan dicemari dengan skandal yang mana juruterbangnya didapati memegang lesen ‘yang meragukan’ – mendorong beberapa negara mengharamkan PIA beroperasi di negara terbabit.

Syarikat penerbanagn itu dilarang terbang ke Kesatuan Eropah untuk tempoh enam bulan berikutan kekhuatiran terhadap pematuhan keselamatan. – MalaysiaGazette