ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dagangan di Bursa Malaysia dijangka berhati-hati menjelang pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Rabu.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, kemungkinan satu lagi pengurangan kadar oleh bank pusat yang tidak dapat dielakkan, berdasarkan situasi yang tidak dapat dijangka berikutan peningkatan semula kes COVID-19 dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

“Sebarang pengurangan OPR dijangka menyebabkan harga saham perbankan merosot, yang kemudiannya akan mempengaruhi bursa tempatan berikutan saham perbankan membentuk wajaran yang tinggi dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

“Dengan mengambil kira perkara ini, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat 1,620 hingga 1,640 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

BNM akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang pertama bagi 2021 pada 22 Jan. Pada masa ini, OPR berada pada paras terendah sebanyak 1.75 peratus selepas empat pengurangan, membawa kepada pengurangan sebanyak 125 mata asas, pada tahun lepas.

Secara keseluruhannya, sentimen dalam pasaran kebanyakannya berpusat pada pengisytiharan darurat di seluruh negara berikutan peningkatan kes COVID-19, pelaksanaan semula PKP di beberapa negeri bermula 13 Jan, pakej rangsangan AS dan perang perdagangan AS-China.

Pada Selasa lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di negara ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa aktiviti perniagaan akan kekal seperti biasa walaupun terdapat pengisytiharan darurat.

Pada Khamis, bakal Presiden Joe Biden mengumumkan cadangan bantuan pandemik bernilai US$1.9 trilion dalam usaha membendung kes COVID-19 yang meningkat dan menstabilkan ekonomi AS. Selain itu, pasaran global bergolak selepas pentadbiran Presiden Donald Trump menyenaraihitam syarikat China seperti Xiaomi.

Jabatan Pertahanan AS semalam menambah Xiaomi dalam senarai syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan tentera China.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI susut 6.18 mata kepada 1,627.01 daripada 1,633.19 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 68.89 mata kepada 11,706.34, Indeks FBMT 100 naik 32.73 mata kepada 11,440.54, FBM 70 menambah 340.30 mata kepada 14,828.41, Indeks FBM Emas Shariah menokok 50.75 mata kepada 13,204.69 dan Indeks FBM ACE naik 298.70 mata kepada 10,796.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.37 mata kepada 15,031.38 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 4.22 mata kepada 178.80, manakala Indeks Perladangan merosot 52.93 mata kepada 7,365.36.

Indeks Tenaga naik 14.79 mata kepada 859.05, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 18.97 mata kepada 3,608,82 dan Indeks Teknologi meningkat 8.72 mata kepada 75.44.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 34.50 bilion unit bernilai RM25.36 bilion daripada 37.90 bilion unit bernilai RM26.49 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 21.58 bilion saham bernilai RM21.07 bilion daripada 22.51 bilion saham bernilai RM21.52 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 2.52 bilion unit bernilai RM403.12 juta daripada 2.56 bilion unit bernilai RM373.54 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 10.40 bilion saham bernilai RM3.89 bilion daripada 12.91 bilion saham bernilai RM4.59 bilion sebelum ini. – MalaysiaGazette