Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba

SERDANG – MySalam, skim perlindungan percuma kepada golongan B40 dan M40 di seluruh negara tidak diberhentikan seperti didakwa oleh Pakatan Harapan.

Skim berkenaan masih diteruskan dan disampaikan kepada rakyat yang berdaftar, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan PH kononnya skim tersebut telah dimansuhkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), Adham berkata, dakwaan itu tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

“Skim MySalam masih diteruskan dan tidak ada pemberhentian.

“Kita ada menyediakan kaunter khusus di setiap hospital kerajaan yang mana ada petugas dan dibantu pegawai sosial memberi perincian kepada pesakit yang melawat ke hospital.

“Mereka yang didapati layak maka mereka dibantu untuk menyertai skim MySalam. Ia tidak dimansuhkan seperti didakwa segelintir pihak,” katanya ketika ditanya dalam sidang media lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 Taman Ekspo Pertanian Serdang (Maeps) hari ini.

Ditanya mengenai Dana Covid-19 yang diwujudkan kerajaan PN bagi mengurangkan krisis Covid-19 di negara ini, belau menjelaskan, tabung itu di bawah kelolaan Agensi Pengurusan Bencana Kebangaan (Nadma) dan KKM juga telah mewujudkan tabung sendiri.

Manakala Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr. Aminuddin Hashim berkata, tabung itu menerima RM50 juta daripada rakyat prihatin dan dananya juga digunakan untuk sumbangan kepada waris-waris pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Kita juga memberi sumbangan kepada mereka yang hilang pendapatan akibat Covid-19 yang telah disahkan KKM..

“Segala bukti sumbangan dana dari tabung berkenaan telah diserahkan kepada Nadma dan sehingga tahun lepas bakinya antara RM5 juta hingga RM6 juta lagi.

“Baru-baru ini kita dapat menerima derma baharu RM20 juta dan ia ditambah dalam tabung itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Skim MySalam telah dimansuhkan?