Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia meminta kerajaan khususnya Kementerian Kewangan dapat memastikan bank dan institusi kewangan menawarkan moratorium kepada rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam memperakui keupayaan kewangan bank masih kukuh untuk menawarkan moratorium, apa salahnya mereka menzahirkan sifat tanggungjawab sosial korporat sekali lagi ketika rakyat sedang lalui saat sukar berhadapan dengan PKP 2.0 untuk memerangi Covid-19.

“Mohon sangat kerajaan khususnya Kementerian Kewangan memastikan bank dan institusi kewangan menawarkan moratorium kepada rakyat sempena PKP 2.0 ini.

“Ramai yang susah dan terkesan teruk akibat pelaksanaan PKP 2.0 yang sememangnya tidak dapat dielakkan untuk tangani kes Covid-19 yang meningkat dan makin meruncing,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.

Dr. Asyaf turut mengingatkan pihak tertentu jangan cuba mengambil kesempatan dalam kesempitan rakyat dengan mengenakan caj tambahan mahupun menggandakan keuntungan terakru hingga menambah beban pelanggan hanya kerana menawarkan penangguhan bayaran ansuran, bukannya pelupusan bayaran. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.