MELAKA – Seorang pemandu kren dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan memukul kekasihnya sehingga patah tangan kanan di tanah perkuburan, bulan lalu.
Tertuduh, A. Ramesh, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada seorang wanita berusia 31 tahun dengan menggunakan kayu yang merupakan alat untuk memukul.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di kawasan tempat pembakaran mayat di tanah perkuburan India Jelutong di Batu Berendam Melaka dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira jam 3 pagi 22 Ogos lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Difahamkan tertuduh membawa mangsa ke tempat kejadian dan memukulnya di bahagian badan serta tangan kanan sehingga patah menggunakan kayu.
Kejadian berpunca apabila tertuduh berasa cemburu kerana menyangka kekasihnya itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Terdahulu,Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Tertuduh bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan dengan alasan tiada penjamin yang hadir di mahkamah.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan bersetuju dengan syarat dipohon pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula 6 Oktober ini untuk lantikan peguam. – MalaysiaGazette
















