PETALING JAYA – Mahu keluar untuk membeli makanan masih menjadi antara alasan popular yang digunakan oleh orang awam untuk merentas daerah walaupun sudah masuk hari kelima pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

Itu merupakan antara sikap segelintir orang awam yang masih memandang ringan peraturan ditetapkan kerajaan supaya tidak melakukan perjalanan melebihi radius 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing untuk mendapatkan keperluan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kebanyakan pemandu yang melalui sekatan jalan raya (SJR) mempunyai surat kebenaran dari syarikat masing-masing namun ada juga sebilangan kecil yang memberi alasan kurang penting.

“Kita tengok tadi memang kebanyakan pemandu kenderaan ada surat kebenaran tapi dalam masa sama kita juga nasihati mereka jika tiada keperluan walaupun ada kebenaran (surat) supaya duduk lah di rumah.

“Kalau perlu beli makan pun beli lah di sekitar kawasan sahaja, jangan dari Sierramas datang ke Petaling Jaya (PJ) atau Shah Alam datang ke PJ.

“Sama-sama kita ambil tanggungjawab kerana ‘frontliners’ tidak boleh bergerak sendirian tanpa kerjasama daripada komuniti itu sendiri,” katanya selepas melakukan pemeriksaan kenderaan di SJR sebelum Plaza Tol Damansara hari ini.

Tambah Nik Ezanee, beberapa kenderaan turut diminta untuk berpatah balik selepas memberi alasan mahu membeli makanan di luar daerah berkenaan.

Katanya lagi, PJ turut menjadi salah satu lokasi tumpuan orang ramai berikutan banyak kawasan-kawasan komersial.

“Ada yang nak beli makanan dan saya suruh patah balik. Dari PJ hendak ke Brickfields, Shah Alam dan sebagainya, beli lah di sekitar PJ sahaja,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, seramai 596 pegawai dan anggota polis ditugaskan di lapangan iaitu di empat SJR selain melakukan rondaan pematuhan PKP.

Jelas beliau, setakat hari kelima pelaksanaan PKP 2.0, sebanyak 96 kompaun telah dikeluarkan akibat kegagalan mematuhi PKP dan lima tangkapan . – MalaysiaGazette