Muhammad Zahid Mat Arip

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya memperlihatkan keupayaannya sebagai Perdana Menteri menerajui kepimpinan negara ketika pandemik Covid-19.

Bahkan, ketika ekonomi seluruh dunia merudum, beliau tidak pernah mengabaikan rakyat, dengan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban mereka.

Senator Muhammad Zahid Mat Arip ketika memberi pandangannya mengenai kepimpinan Muhyiddin berkata, sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri sejak Mac tahun lalu, beliau telah meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaannya.

“Walaupun ketika musuh politiknya begitu ghairah untuk menjatuhkan kerajaan yang di pimpinnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa, Muhyiddin dilihat belum menunjukkan kemampunan untuk menangani masalah negara biarpun susulan pengisytiharan darurat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, proklamasi darurat yang diisytiharkan itu memberikan kuasa yang besar kepada Muhyiddin, selain menghentikan politiking.

Bagaimanapun, dari satu aspek lain, kata Dr. Mahathir, pengisytiharan darurat itu merupakan satu langkah kediktatoran.

Membantah kenyataan itu, Muhammad Zahid berkata, darurat bukan untuk Muhyiddin beraja di mata, bersultan di hati.

Sebaliknya, ujar beliau, darurat itu ada tempohnya, bukan dilaksanakan sehingga kiamat.

“Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengisytiharan darurat ini setelah mendapat nasihat dari kerajaan dan dilaksanakan demi kebaikan rakyat serta negara.

“Bukan dilaksanakan sampai kiamat pun, sampai masanya nanti darurat ini akan berakhir juga,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.