Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengulangi pandangannya bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari akan datang, yang dijadualkan berlangsung selama dua hari mulai esok.

Dalam notanya hari ini, firma penyelidikan itu menyatakan OPR akan kekal pada tahap terendah 1.75 peratus tahun ini selepas penurunan 125 mata asas pada tahun 2020.

Namun, ia berpendapat bahwa ini adalah lebih kepada “dovish pause“, menunjukkan bahawa sebarang perubahan dalam OPR tahun ini akan menjuruskan kepada penurunan berbanding peningkatan, katanya.

“Seperti sekarang ini, keluk swap kadar faedah ialah pada harga penurunan 25 mata asas OPR dalam tempoh separuh pertama 2021.

“Sebab utama mengapa kami tetap dengan saranan OPR yang stabil tahun ini adalah kerana terdapatnya “pelonggaran pasif” dengan OPR yang sebenar berubah menjadi negatif pada tahun 2021 berbanding positif pada tahun 2020.

“Kami mengunjurkan inflasi tahun ini kembali pada +2.0 peratus berbanding deflasi -1.0 peratus tahun lepas, menghasilkan -0.25 peratus OPR sebenar pada tahun 2021 berbanding +2.75 peratus OPR sebenar pada tahun 2020,” katanya.

Ia menjelaskan bahawa kadar faedah sebenar adalah salah satu faktor penentu dalam dasar OPR BNM.

Dalam perkembangan lain, Maybank IB menjangkakan kerugian ekonomi harian adalah lebih kecil di bawah penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) iaitu antara RM0.7 bilion dan RM1 bilion sehari, berbanding antara RM1 bilion hingga RM1.5 bilion sehari semasa PKP 1.0.

Dalam usaha mengurangkan kesan ekonomi PKP 2.0, kerajaan telah membenarkan lima sektor penting untuk beroperasi, iaitu kilang dan pembuatan; pembinaan; perkhidmatan; perdagangan dan pengedaran; dan ladang dan komoditi.

“Kami menganggarkan bahawa 78 peratus ekonomi beroperasi di bawah PKP 2.0 berbanding 52 peratus semasa PKP 1.0,” katanya.

Maybank IB turut berpendapat kerajaan harus fokus kepada mempercepatkan pelaksanaan dasar monetari akomodatif yang ada, dasar fiskal pengembangan dan langkah-langkah rangsangan.

Ia menambah defisit belanjawan 2021 kekal besar – RM84.8 bilion berbanding RM86.5 bilion pada tahun 2020, dan banyak langkah rangsangan ekonomi pada tahun 2020 telah diperkenalkan dan diperluaskan berdasarkan sasaran sehingga tahun 2021.

Ini termasuk subsidi upah; pemberian wang tunai kepada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana; moratorium pembayaran pinjaman yang disasarkan dan pembayaran pinjaman yang fleksibel; geran dan skim pembiayaan untuk perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS); penempatan pekerjaan, serta pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman KWSP pekerja yang lebih rendah. – MalaysiaGazette