Mangsa kebakaran, C. Batmanathan, 33 bercakap kepada media setelah mendapat sumbangan dari wakil Pejabat Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Santhara ketika di Pusat Komuniti Sentul Perdana. Foto MOHD ADZLAN, 18 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Salah seorang mangsa kebakaran di Sentul, C. Batmanathan boleh menarik nafas lega dengan jaminan yang diberikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar bahawa kesemua sembilan keluarga bakal menerima kediaman menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak lama lagi.

Batmanathan, 33, yang mempunyai seorang anak berkata, beliau tidak memilih bantuan yang diberikan kerana tidak lagi mahu menyusahkan kakaknya.

Pemandu bas itu memaklumkan MalaysiaGazette, sejak kebakaran yang berlaku pada malam Khamis lalu, beliau terpaksa menebalkan muka membawa anak dan isteri menumpang di rumah kakaknya.

Namun, beliau terpaksa membawa anak dan isterinya ke pusat pemindahan sementara di Pusat Komuniti Sentul Perdana kerana kakaknya bekerja pada siang hari.

“Saya dan keluarga menumpang di rumah kakak saya, sebab pagi dia bekerja, saya dan isteri pada siang akan ke sini, malam sahaja kami menumpang di rumah kakak.

“Saya okay sahaja apa pun rumah yang diberikan janji ada rumah,” katanya.

Ujarnya, beliau tidak mampu untuk membeli rumah baharu ekoran pendapatannya yang kini tidak menentu akibat Covid-19.

Batmanathan merupakan salah seorang mangsa kebakaran yang menerima bantuan daripada wakil Santhara yang hadir di Pusat Komuniti Sentul Perdana hari ini. – MalaysiaGazette