Tony Fernandes

KUALA LUMPUR – Tan Sri Tony Fernandes kecewa dengan perbezaan peraturan yang dikenakan oleh pelbagai kerajaan kepada penumpang udara.

Menurut beliau, perbezaan itu seolah-olah menyatakan penumpang yang tidak diberi vaksin Covid-19, tidak akan dibenarkan masuk ke negara-negara yang dituju tanpa dikuarantin.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia itu berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama-sama dengan industri penerbangan sepatutnya mengeluarkan standard protokol yang sama tetapi politik telah mengekangnya.

”Kerajaan-kerajaan telah menyebabkan rakyat bingung dan mereka mengambil pandangan yang sangat, sangat konservatif”, katanya.

Tony berkata, ahli-ahli politik mahu semuanya berada dalam kawalan mereka.

”Mereka mahu mengawal semuanya. Ia seperti sesuatu yang tidak pernah kita dengar sebelum ini. Koordinasi Covid-19 sungguh mengerikan.

“Saya hanya berfikir semua orang … takut dan hanya bertindak balas dengan cara yang sangat jingoistik (semangat kebangsaan yang melampau dan membenci negara lain) dan nasionalistik.

”Dalam sejarah perniagaan penerbangan, saya tidak pernah melihat penyelaran yang begitu lemah sekali,” ujarnya. – MalaysiaGazette