Dua daerah di Negeri Sembilan iaitu Seremban dan Port Dickson diletakkan bawah PKP.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Daerah Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai tengah malam ini hingga 1 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, PKP dilaksanakan di dua daerah itu berikutan kadar insiden jangkitan harian positif Covid-19 menunjukkan kes tertinggi.

Katanya, Negeri Sembilan sebelum ini dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) bersama Pahang, Perak, Kedah dan Terengganu yang berkuatkuasa pada 13 Januari lalu.

Ismail Sabri Yaakob

“Bagi daerah Seremban, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kadar insiden jangkitan di daerah ini sangat tinggi dan berlaku peningkatan kes secara ketara dalam tempoh 14 hari iaitu dari 777 hingga 876 kes.

“Selain itu, kebanyakan mukim di Seremban juga adalah Zon Merah iaitu tujuh daripada sembilan mukim.

“Bilangan kes yg dilaporkan dalam masa 14 hari di tujuh mukim berkenaan adalah dalam lingkungan 56 hingga 283 kes,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi daerah Port Dickson pula, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak dalam tempoh 14 hari yang melibatkan beberapa kluster iaitu daripada 35 kepada 167 kes.

Jelas beliau, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dua daerah ini selama 14 hari bermula 19 Januari sehingga 1 Februari ini.

Kata Ismail Sabri, pelaksanaan PKP itu adalah untuk mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dan mengawal pergerakan di kedua-kedua daerah berkenaan.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud mulai hari ini.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kampung ini yang dijadualkan tamat pada hari ini, 18 Januari.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 516 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 53 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM turut mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini terkawal, di mana kes terakhir direkodkan adalah pada 11 Januari lalu dan tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah hari ini. – MalaysiaGazette