Pelajar, Mohd Adam Rui, 8, tekun mengaji mukadam di kafe yang diajar gurunya melalui dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2020.
KITA memulakan sesi persekolahan pada hari ini dalam keadaan yang cukup berbeza dan luar biasa berbanding sebelum ini. Sesi persekolahan tahun ini akan dipahat dalam sejarah pendidikan negara ini sebagai sesi yang paling mencabar baik kepada
guru, ibu bapa mahupun murid. Ironinya, serangan pandemik COVID-19 juga turut memberi kesan besar kepada sistem pendidikan di negara kita.
Keputusan kerajaan yang hanya membenarkan calon yang bakal menduduki peperiksaan awam 2020 saja hadir ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka menyebabkan murid lain semuanya terus berada di rumah dan perlu memulakan sesi pembelajaran secara dalam talian atau dikenali sebagai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Kita akui pihak kementerian juga agak pening untuk tampil dengan satu kaedah atau formula yang sesuai, praktikal dan berkesan kepada semua murid, namun harus diakui tidak ada satu kaedah yang boleh memuaskan hati semua orang. Hakikatnya, kita tersepit antara krisis kesihatan dan tuntutan pembelajaran anak-anak.
Sebagai seorang bapa, penulis sendiri dapat membayangkan nasib anak-anak Tahun 1 misalnya yang tidak dapat menjejak kaki ke sekolah dengan pakaian seragam sekolah, sebaliknya terpaksa memulakan sesi persekolahan dari rumah. Ini satu
keadaan yang cukup luar biasa dan tidak pernah berlaku.
Jadi secara umumnya murid tahun ini berhadapan dengan cabraan yang cukup besar. Antaranya, belum ada buku teks fizikal untuk rujukan dan sesi pembelajaran di rumah sebaliknya mereka terpaksa menggunakan buku teks digital. Pada masa yang sama masalah capaian internet yang lemah atau tiada di sesuatu kawasan serta kekangan menggunakan gajet yang bersesuaian pula terus menghantui murid dan juga ibu bapa. Apa agaknya nasib anak-anak Orang Asli misalnya yang berhadapan dengan masalah internet dan peranti?
Itu belum lagi kita bincangkan soal kediaman yang tidak kondusif, murid yang cepat bosan belajar dalam talian, siapa pula yang memantau murid ini tatkala ibu bapa juga sudah mula bekerja seperti biasa. Akhirnya, sudah tentu motivasi anak-anak ini akan menjadi sangat rendah seterusnya menjejaskan pembelajaran mereka.
Bagi ibu bapa pula sudah tentu mula bimbang dengan masa depan anak-anak yang berhadapan dengan pelbagai cabaran ini. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini secara umumnya banyak memberi kelonggaran, sekali gus ibu bapa boleh bekerja
seperti biasa berbanding ketika PKP 1.0 di mana hampir semua terkurung di rumah.
Maka masalah besar sekarang ialah siapa memantau anak-anak di rumah ketika PdPR ini? Malah anak-anak Tahun 1 sudah tentu perlu ditemani ibu atau bapa ketika PdPR ini kerana mereka mungkin belum mahir menggunakan peranti dan belajar
sendiri secara dalam talian. Jadi secara prinsipnya, ibu bapa kali ini cukup tertekan kerana perlu bekerja, perlu pantau anak di rumah dan perlu sediakan internet dan peranti untuk kegunaan anak di rumah.
Para guru juga berhadapan dengan banyak cabaran. Sudah tentu antara cabaran utama guru ialah berhadapan dengan kesukaran untuk menarik minat pelajar untuk fokus ketika PdPR dilaksanakan secara dalam talian. Guru terutamanya yang
mengajar di sekolah rendah pasti akan berhadapan pelbagai cabaran untuk berkomunikasi dengan murid Tahun 1 hingga Tahun 6. Kerja sekolah yang diberikan juga sukar untuk dipantau dan dalam banyak kedaaan sukar dapat kerjasama murid
dan juga ibu bapa.
Jadi secara umumnya pada tahun ini kita berhadapan dengan cabaran yang cukup kompleks dan membimbangkan. Perlu diakui pembelajaran secara bersemuka adalah kaedah pembelajaran yang paling berkesan dan efektif namun apakan daya wabak
ini menjadi penghalang besar. Namun kita tidak boleh berdiam diri atau berpeluk tubuh begitu saja.
Memandangkan ianya membabitkan masa depan generasi muda
negara ini, kita berharap pihak kerajaan akan mengambil kira  segala cabaran yang sedang dihadapi oleh murid, ibu bapa dan guru supaya dapat membuat penambahbaikan yang sewajarnya dari semasa ke semasa. Pada masa yang sama, pertimbangkan juga segala cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk memperbaiki kelemahan yang ada seterusnya membantu sesi pembelajaran anak-anak.
Semoga ada sinar di hujung terowong agar tidak ada anak-anak kita yang terus tercicir dan menjadi mangsa pandemik COVID-19 ini. Ibu bapa dan guru diharap terus tabah dan bersemangat dalam memainkan peranan dan menunaikan tanggungjawab masing-masing demi masa depan anak-anak.
Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa