Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerima sumbangan mangsa banjir Buani Atiqi melalui Datuk Abdul Aziz Bakar di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

KUALA LUMPUR – Menyedari masih ramai mangsa banjir di Pahang masih memerlukan bantuan masih ramai syarikat, NGO dan individu telah tampil memberi sumbangan.

Walaupun peraturan tidak membenarkan pasukan petugas luar turun padang ke negeri itu ekoran Covid-19 kecuali disahkan bebas pandemik namun pelbagai bentuk sumbangan seperti kewangan, barangan keperluan asas dan tenaga sukarela tempatan tetap digerakkan.

Ia termasuk sumbangan persendirian seperti keluarga Datuk Buani Atiqi Abdul Rahman dan keluarga dari buaniatiqi.com yang prihatin telah menyumbang sejumlah RM10,000 kepada Tabung Khas Bencana Banjir Pahang.

Mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa, sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui Presiden Skuad 69 Polis Diraja Malaysia, Datuk Abdul Aziz Bakar di Wisma Sri Pahang hari ini.

Abdul Aziz merupakan ayah mertua kepada Buani Atiqi yang menetap di Pahang.

Menteri Besar Pahang merakamkan ucapan terima kasih melalui pautan Facebook rasmi beliau atas sumbangan tersebut.

Selain itu, Wan Rosdy juga mengucapkan terima kasih kepada penyumbang lain seperti Hartanah Setia Makmur sebanyak RM10,000 dan sumbangan 1, 200 helai baju sukarelawan daripada Alliance Steel (M)Sdn Bhd.

Buani Atiqi Abdul Rahman sekeluarga bersama mok cek sumbangan kepada mangsa banjir di Pahang.

Sementara itu, ketika dihubungi, Buani Atiqi yang berada di Putrajaya dekat sini berkata, beliau dan keluarga berharap sumbangan tersebut dapat sedikit sebanyak membantu mangsa banjir yang terjejas di Pahang dan mendoakan keselamatan mereka.

Beliau juga berharap agar masyarakat dapat menjaga diri dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.- MalaysiaGazette