Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Untuk tidak timbul lebih banyak kluster berkaitan upacara pengkebumian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mencadangkan kepada orang ramai agar mengehadkan kehadiran kepada 20 orang sahaja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan itu perlu dipatuhi kerana penularan Covid-19 semasa upacara pengkebumian antara yang terbesar pernah berlaku di negara ini.

“Apa yang penting adalah kita buat untuk hadkan himpunan kepada 20 orang sahaja. Apa-apa himpunan perlu ada permit daripada polis dan apa yang penting adalah amalkan SOP (Prosedur Operasi Standard).

“Kita faham ia berhubung kait dengan emosi tapi cuba amalkan penjarakan sosial satu meter dan pakai pelitup muka dan hidung.

“Cuba hadkan para hadirin pada upacara pengkebumian dan cadangan kita adalah tidak lebih daripada 20 orang yang hadir dalam majlis itu,” jelas Noor Hisham dalam sidang media hari ini.

Sebelum ini, Kluster Pasai di Sarawak merekodkan kes tertinggi setelah mencatat 139 pertambahan kes pada semalam yang menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 893 kes.

Ia dikesan setelah seorang wanita yang pulang ke Sarawak dari Johor untuk menghadiri pengebumian bapanya yang meninggal dunia.

Selain mengehadkan bilangan yang hadir, Noor Hisham berkata, apa-apa upacara pengkebumian mahu pun majlis perkahwinan perlu terus mengamalkan SOP yang telah ditetapkan oleh pihaknya.

Jika tidak, penularan Covid-19 tidak akan dapat dibendung dan mengakibatkan jumlah kluster dan kes positif Covid-19 akan terus meningkat.

“Apa-apa perhimpunan contohnya pengkebumian dan perkahwinan ia ada potensi untuk dijangkiti jika yang hari itu positif Covid-19.

“Dua kluster terbesar adalah Kluster Pasai dan Tawar, ini adalah isu sensitif bila mana berkaitan dengan pengkebumian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya belum nampak untuk penularan Covid-19 berakhir setakat ini.

Katanya, pihaknya dan para petugas barisan hadapan akan tetap melawan penularan Covid-19 tanpa melihat kepada pengakhirannya.

“Kita berpegang dengan Covid-19 agak lama lebih setahun. Kita tidak nampak lagi pengakhiran atau penghujung peperangan dengan Covid-19 tapi ramai daripada petugas barisan hadapan yang ada kelesuan mental dan fizikal,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan media mengenai isu kelesuan yang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan yang tidak dapat dibendung lagi.

Noor Hisham berkata, KKM kini memfokuskan kepada perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial yang digerakkan sejak Januari tahun lalu.

Jelas beliau, perkhidmatan itu akan dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh petugas barisan hadapan. – MalaysiaGazette