Kamarudin Jaaffar menyumbangkan hampir 150,000 keping pelitup muka untuk kegunaan penduduk Bandar Tun Razak yang akan disampaikan secara berperingkat.

KUALA LUMPUR – Gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 di negara ini dengan jumlah jangkitan mencecah empat angka telah mengakibatkan kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula bermula 13 Januari lalu.

Prihatin dengan keadaan rakyat yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan dalam keadaan ekonomi dan cabaran kesihatan yang getir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar telah memberikan pelbagai bentuk bantuan seperti barangan keperluan asas, bantuan kewangan untuk golongan asnaf dan pelajar yang memerlukan.

Terbaru, beliau yang juga Timbalan Menteri Luar telah menyumbangkan hampir 150,000 keping pelitup muka untuk kegunaan penduduk Bandar Tun Razak yang akan disampaikan secara berperingkat.

Menurut Kamarudin, fokus agihan itu diberikan kepada penduduk perumahan rakyat-perumahan awam dan mereka yang memerlukan.

“Tujuan pemberian pelitup muka ini adalah tanda ingat mengingati agar bersama-sama membudayakan norma baharu dalam kehidupan iaitu memakai pelitup muka setiap masa sekiranya keluar daripada kediaman masing-masing.

“Rakyat perlu bersama-sama dengan Kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 dan usaha ini akan berjaya sekiranya disokong semua pihak. Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos pembelian pelitup muka rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Kamarudin menambah, sebagai tanda penghargaan kepada anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang bertugas di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak khususnya yang menjalankan tugas meronda, sebanyak 12,000 keping pelitup muka dan pencuci tangan akan disumbangkan dalam masa terdekat.

“Diharapkan ianya dapat membantu menjaga kesihatan pasukan keselamatan yang setiap hari berhadapan dengan risiko wabak Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette