Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases deaths Malaysia
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 kluster baharu dikenalpasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Kluster-kluster baharu itu melibatkan lapan kluster berkaitan tempat kerja, serta masing-masing satu kluster komuniti, kluster keagamaan, dan kluster pusat tahanan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, dua kluster dikesan di Melaka (2), Terengganu (2), Sabah (2), Johor (3), Kuala Lumpur (1)dan Selangor (1).

“KKM memandang serius perkembangan peningkatan kes Covid-19 serta kluster-kluster berkaitan tempat kerja yang
dilihat mutakhir ini.

“Ini kemungkinan berkait rapat dengan peningkatan ujian yang dilakukan secara bertumpu bagi mengesan lebih banyak kes dengan secepat mungkin, dan seterusnya mengawal penularan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, sehingga semalam, sejumlah 350 kluster baharu telah dilaporkan dan sebanyak 225 kluster (64.3 peratus) merupakan kluster berkaitan tempat kerja.

Kata beliau, sejumlah 112,225 individu telah disaring, di mana 28,477 kes (25.4 peratus) telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster-kluster itu.

Daripada kluster-kluster berkaitan tempat kerja yang dilaporkan katanya, kluster berkaitan perkilangan mencatatkan bilangan kluster yang tertinggi iaitu sebanyak 80 kluster (35.6 peratus) diikuti kluster berkaitan pembinaan sebanyak 53 kluster (23.6 peratus) dan kluster berkaitan perkhidmatan sebanyak 31 kluster (13.8 peratus).

“KKM ingin menyeru semua majikan dan para pekerja supaya bersama-sama memainkan peranan dalam membantu KKM dan negara Malaysia membendung penularan Covid-19 di tempat
kerja dengan sentiasa mematuhi Prosedur Amalan Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Majikan bertanggungjawab untuk menyediakan tempat kediaman pekerja yang kondusif disamping memastikan pekerja sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19. – MalaysiaGazette