Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia)

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) menjelaskan kandungan surat dalamannya yang tular tidak menyatakan penutupan sepenuhnya aktiviti ekonomi selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Dalam satu kenyataannya, EuroCham Malaysia menegaskan, apa yang dimaksudkan dalam suratnya semalam merujuk penekanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang meminta semua pihak kekal memainkan peranan mengelak berlaku satu lagi PKP.

Menurutnya, surat edaran dalaman berhubung perbincangan tidak rasmi EuroCham Malaysia bersama MITI pada 22 Januari lalu dihantar kepada semua ahli bagi menyampaikan gambaran tidak rasmi dan usaha terpuji kerajaan Malaysia menangani pandemik Covid-19.

“Intipati perbincangan tidak rasmi itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bagaimana komuniti perniagaan dapat memainkan peranan penting dalam meratakan keluk Covid-19 dan kesan ekonomi jika kita semua tidak memainkan peranan aktif.

“Dalam masa ini kami menghargai hubungan kerja yang kuat dengan kerajaan Malaysia khususnya MITI dan menurut pendapat kami – mereka telah melakukan pekerjaan terpuji dalam menguruskan pandemik sejak 2020,” kata Pengerusi EUROCHAM Malaysia, Oliver Roche dalam kenyataan yang sama.

Beliau menambah, ada terdapat banyak laporan di media mengenai jangkitan melibatkan pelbagai kluster seperti kilang, tapak pembinaan dan tempat kerja  mendesak komuniti perniagaan memandang serius perkara itu dan memastikan penjagaan SOP yang ketat bagi mengelak berlaku lagi PKP.- MalaysiaGazette