Reaksi gelandangan sewaktu melakukan ujian saringan Covid-19 pada Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan Siri 1 2021 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran memperkenalkan ujian saringan Covid-19 berkala termasuk kepada mereka yang berisiko dan dalam kalangan yang mempunyai penyakit kronik.

Langkah ini menurut Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohamad Najib Samuri akan dapat mengesan individu yang dijangkiti Covid-19 tetapi tidak bergejala membuat langkah pengasingan diri atau kuarantin dengan segera.

“Susulan kes baharu Covid-19 yang semakin mendadak dan seolah-olah terlalu sukar dikawal ketika ini, satu kaedah drastik mesti dilakukan kerajaan bagi mengawal tahap penularannya dan seeloknya dihentikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Najib, rakyat khususnya golongan B40 kini dibelenggu masalah kos ujian saringan RT-PCR dan Kit Ujian Pantas RTK-Ag yang tinggi sekiranya mahu menjalaninya secara sukarela.

“Kita percaya bahawa sebahagian besar rakyat memiliki kesedaran dan kemahuan yang tinggi untuk jalani ujian saringan kendiri bagi melindungi keluarga dan insan tersayang.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu menambah dana bagi membeli lebih banyak kit-kit saringan khususnya RTK-Ag serta mengedarkan segera dengan kapasiti yang lebih besar ke semua fasiliti kesihatan awam dan swasta terpilih.

“Ini bagi membolehkan sesiapa saja boleh dibenarkan untuk menjalani saringan, dengan menetapkan syarat tempoh tertentu seperti hany dibenarkan dua minggu sekali,” tambahnya.

Selain itu ujarnya, bagi mengurangkan beban kewangan hanya ditanggung kerajaan saja, pemegang polisi insurans peribadi mesti dibenarkan untuk menggunakan perlindungan insurans yang mereka miliki untuk melakukan ujian saringan COovid-19 disemua fasiliti hospital swasta serta makmal swasta yang mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM).

“Memandangkan industri insuran dan takaful ketika ini tidak membenarkan ujian saringan Covid-19 secara bebas dibuat kepada pemegang polisinya, disebabkan Covid-19 adalah pandemik, oleh yang demikian ia tidak diinsurankan/dilindungi di bawah manfaat insuran atau takaful perubatan serta kesihatan, maka kerajaan boleh menggunakan peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa ketika ini untuk mengenepikan segala sekatan dan halangan berkenaan.

“Kita tidak lagi boleh mengambil tindakan sekadar tunggu dan lihat dengan trend peningkatan pandemik ini dengan mengharapkan usaha kerajaan semata-mata.

“Apa sahaja kaedah yang wajar dan boleh dilakukan walaupun dalam tempoh suntuk, ia mesti dipertimbang dan dilaksana segera. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sekarang, sungguhpun ianya satu tindakan untuk mengurangkan penularan namun ia belum tentu dapat menjamin penularannya akan terhenti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Shahrul Fadhel Mohd Aziz pula mencadangkan agar ujian swab diperluaskan kepada kepada seberapa ramai rakyat, termasuk masyarakat yang tampil sukarela untuk membuat ujian tersebut. Bagi mencapai tujuan ini, ada dua cadangan langkah utama yang boleh dipertimbang oleh Kerajaan untuk dilaksanakan.

Beliau berkata, kerajaan boleh menimbang untuk memberikan subsidi 50 peratus kos ujian calitan secara RTK yang boleh diakses di mana-mana premis perkhidmatan kesihatan termasuk klinik-klinik swasta yang berharga lebih murah berbanding ujian secara PCR.

“Jika langkah ini diumumkan oleh kerajaan, kami yakin lebih ramai rakyat akan tampil membuat ujian ini secara sukarela,” ujarnya.

Kerajaan kata beliau diminta menggesa hospital-hospital swasta menawarkan perkhidmatan ujian swab dengan harga yang jauh lebih murah daripada apa yang dikenakan kepada pelanggan sekarang ini.

“Inilah masa yang sangat sesuai bagi syarikat-syarikat korporat ini menyerlahkan kesanggupan mereka menjalankan tanggungjawab sosial korporat dalam keadaan semua pihak harus berganding bahu mengambil tanggungjawab bersama memerangi wabak ini daripada terus mengundang resah dalam kalangan masyarakat,” tambahnya lagi.-MalaysiaGazette