Seramai 6,894 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu seramai 154 orang disahkan positif Covid-19 semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 6,894 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu seramai 154 orang disahkan positif Covid-19 semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,, secara kumulatifnya sejak 1 Disember lalu, seramai 205,316 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 7,852 majikan.

Jelas beliau, daripada jumlah ini sebanyak 4,096 telah disahkan positif Covid-19 manakala 201,220 lagi negatif.

“Sehingga kini juga, sebanyak 854 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.

“Ia selari dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, WP Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri menambah, anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat lapan pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, tujuh tapak binaan beroperasi manakala satu lagi tidak beroperasi.

“Dalam pemeriksaan itu, CIDB mendapati kesemua tujuh tapak binaan terbabit mematuhi prosuder standard operasi.

“Secara keseluruhannya, CIDB sudah melakukan 14,589 pemeriksaan melibatkan 8,261 tapak binaan sejak 20 April lalu,” katanya. – MalaysiaGazette