Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 13 lagi kluster baharu Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan di Malaysia mencecah 746 kluster.

Daripada jumlah itu, lapan kluster adalah berkaitan tempat kerja, tiga berkait komuniti manakala dua lagi melibatkan kumpulan berisiko.

Kluster-kluster tersebut adalah Kluster Sri Muda, Kluster Sungai Chemubong, Kluster Waja, Klsuter Jalan Indah, Kluster Jalan Firma Tiga, Kluster Industri Apas, Klsuter Jalan Kerinchi, Klsuter Kampung Tualang, Kluster Kampung Muhibbah, Kluster Taman Bahagia, Kluster Kampung Bukit Lada, Kluster Bukit Palah dan Kluster Kampung Pahi, katanya menerusi kenyataan hari ini.

Daripada jumlah itu, tiga daripadanya dikesan di Selangor, Johor (3), Kuala Lumpur (1), Terengganu (1), Sabah (1), Pahang (2). Melaka (1) dan Kelantan (1).

Noor Hisham turut memaklumkan, sebanyak 10 kluster tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Pandan, Kluster Lis Putih, Kluster Saga Tengah, Kluster Long Panji, Kluster Cahaya Mahsuri, Kluster Penjara Sandakan, Kluster Pekapuri, Kluster May Indah, Kluster Bakti, dan Kluster Tapak Bina Jalan Seng.

Bagaimanapun katanya, sebanyak 351 kluster dikenal pasti sebagai kluster aktif.

Justeru, Noor Hisham mengingatkan orang ramai agar terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh KKM.

Ujarnya, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan,” tambahnya. – MalaysiaGazette