Martin Odegaard.

LONDON – Martin Odegaard kini menghitung hari untuk berhijrah dari Real Madrid ke Arsenal dan hanya perlu menunggu ujian perubatan.

Nama pemain antarabangsa Norway itu menjadi spekulasi perpindahan Arsenal pada Januari ini di mana hanya menunggu formaliti sahaja sebelum semuanya menjadi rasmi.

Menurut pakar perpindahan dunia bola sepak, Fabrizio Romano, potensi Odegaard beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin jelas apabila Real dan Arsenal bersetuju untuk merealisasikan perpindahan tersebut.

Perpindahan tersebut berlaku secara pinjaman hingga tamat musim ini dengan gaji pemain berusia 22 tahun itu dibayar sepenuhnya oleh Arsenal.

Semuanya sudah dipersetuju oleh kedua-dua kelab berserta pemain itu sendiri dari segi hal kontrak.

Kini hanya ujian perubatan sahaja yang perlu dibuat untuk mengesahkan perpindahan ini.

Menurut Romano, faktor Mikel Arteta memainkan peranan penting mengapa Odegaard memilih Arsenal berbanding pulang semula ke Real Sociedad.

Dengan kehadiran Odegaard, Arsenal kembali memiliki pemain tengah menyerang The Gunners selepas pemergian Mesut Ozil.

Ozil disahkan sebagai pemain Fenerbache selepas diumumkan kelab tersebut baru-baru ini sekaligus menamatkan karier hampir lapan tahun bersama Arsenal. – MalaysiaGazette