Timbalan Ketua Komuniti Acheh Zon Ampang Datuk Dr. Eko Indra Jaya (kanan) bersama Ketua Komuniti Acheh, Datuk Mansyur Usman menyempurnakan gimik Òflag offÓ pada Program Pelepasan Konvoi Sumbangan Bantuan Banjir ke Maran Pahang di Taman Pandan Mewah, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Bantuan keperluan untuk kira-kira 400 keluarga mangsa banjir berjumlah RM60,000 digerakkan hari ini menerusi Misi Bantuan Banjir Maran, Pahang.

Misi itu digerakkan dengan kerjasama Yayasan Pelindung dan Kesedaran Pencegah Jenayah Malaysia dengan Komuniti Peniaga Acheh Zon Ampang sebagai peyumbang utama.

Menurut Timbalan Ketua Komuniti Peniaga Acheh Zon Ampang, Datuk Dr Eko Indra Jaya, ia misi bantuan misi bantuan kedua selepas misi bantuan mangsa banjir di Temerloh dua minggu lalu.

Jelasnya, bantuan itu sebagai simbolik penghargaan untuk kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap keprihatinan kepada warga Indonesia khususnya Acheh ketika menghadapi kesulitan.

“Ini adalah kerana mahu membalas jasa orang tempatan terhadap Acheh,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah beliau, komuniti Acheh akan cuba mengumpul bantuan dari masa ke semasa untuk terus membantu rakyat Malaysia yang berada dalam memerlukan.

Kesemua sumbangan Misi Bantuan Maran, Pahang dihantar dengan menggunakan 11 buah kereta pacuan empat roda, dua buah lori dan empat kenderaan persendirian.

Hadir melepaskan konvoi msi bantuan berkenaan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Abd Muttalib.

Selaku Ahli Parlimen Maran, beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh Yayasan Pelindung dan Kesedaran Pencegah Jenayah Malaysia dengan Komuniti Peniaga Acheh Zon Ampang.

“Bantuan dari pihak ini di luar pemikiran saya sebelum ini. Saya hargai sumbangan yang diberikan kepada kampung saya.

“Saya ucapkan syabas kepada yayasan ini yang bekerjasama juga untuk memudahkan penghantaran bantuan ini,” ujarnya.

Antara bantuan yang disampaikan menerusi Misi Bantuan Banjir Maran, Pahang ini adalah barangan keperluan  mangsa banjir seperti beras, tepung selain tilam dan sejadah. – MalaysiaGazette