Di bawah Bajet 2022, sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan untuk memanfaatkan sekitar dua juta belia melalui sebuah inisiatif e-tunai, ePemula.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukan sejumlah RM20.7 bilion bagi keseluruhan Program Subsidi Upah (PSU) bagi tahun 2020 dan 2021.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan PSU pada tahun 2021 ialah RM3 bilion dengan perluasan skop untuk semua syarikat yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, PSU 3.0 akan menerima penambahan peruntukan RM500 juta lagi, menjadikan jumlahnya RM1.5 bilion di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (Permai).

Ini adalah penambahan kepada RM1.5 bilion yang diumumkan semasa Belanjawan 2021.

Selain daripada jumlah RM3 bilion di bawah PSU 2021, kerajaan juga memperuntukkan RM3.7 bilion di bawah program penjanaan pekerjaan di bawah Belanjawan 2021 yang baharu dimulakan, juga merangkumi program insentif pengambilan pekerja bagi majikan dan perniagaan.

”Saya juga ingin mengingatkan bahawa kadar sewa premis perniagaan MARA diturunkan 30%, manakala insentif cukai bagi mereka yang memberikan kemudahan yang sama dilanjutkan kepada semua penyewa perniagaan, berbanding hanya penyewa PKS (perusahaan kecil dan sederhana) sebelum ini.

”Banyak lagi bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh majikan dan perniagaan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati dari portal Belanjawan 2021 di http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/, yang menyenaraikan semua manfaat Belanjawan 2021.

Tambah beliau lagi, bagi bayaran one-off kepada pemandu bas, teksi dan pemandu e-hailing pula akan dikelolakan oleh Kementerian Pengangkutan.

Maklumat lanjut boleh didapati di pautan http://belanjawan2021.treasury.gov.my/permai/.

Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM800 juta disediakan bagi Geran Khas Prihatin Permai atau GKP Permai, menjadikan jumlah keseluruhan RM800 juta.

Bagi PKS mikro yang telah pun menerima GKP sebelum ini, mereka tidak perlu mendaftar semula dan bantuan RM1,000 akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka.

”Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM2.55 bilion kepada PKS mikro melalui program GKP dan GKP 2.0. Dengan GKP Permai jumlah keseluruhan yang telah atau akan disalurkan kepada rakyat adalah berjumlah RM3.35 bilion, hanya untuk langkah GKP sahaja,” ujar beliau. – MalaysiaGazette