Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan tiga wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) membuat permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman berkenaan penggantungan sidang Parlimen bukan mencabar proklamasi darurat.

PH dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia bagi menentukan kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat yang membenarkan penggantungan sidang Parlimen dan DUN adalah tidak sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan.

“Perdana Menteri bersama Kabinet telah bertindak tidak sah dan melanggar Perlembagaan apabila menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk menggantungkan sidang Parlimen dan DUN.

“Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri dan wakil rakyat di seluruh negara memerlukan persidangan-persidangan pada waktu kritikal ini untuk mengumpulkan suara rakyat yang mereka wakili, membincangkan dan meluluskan undang-undang, dasar atau langkah bagi menangani penularan wabak Covid-19 serta urusan lain membabitkan pentadbiran kerajaan dan kehidupan rakyat,” kata kenyataan bersama setiausaha agung parti-parti dalam PH hari ini.

Ia ditandatangani oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution dari PKR, Datuk Dr Hatta Ramli dari Parti Amanah dan Anthony Loke dari DAP.

Mereka merujuk kepada tindakan ADUN Simpang Renggam, Datuk Seri Salahuddin Ayub, ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul dan ADUN Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari yang membuat permohonan berrkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“PH mengambil tindakan mahkamah ini atas komitmen dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette