DALAM mendidik umum untuk memahami segala bentuk pencemaran yang boleh berlaku kepada sumber air yang seterusnya akan menjejaskan usaha melestarikan air bersih, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menghasilkan sebuah lagi video dan kali ini ianya berkenaan pengurusan air sisa dari buangan domestik.

Video berdurasi tiga minit tersebut menjelaskan secara mudah tentang bagaimana pencemaran air boleh berlaku akibat pengurusan air sisa yang salah di kediaman di mana ianya tidak disalurkan ke paip kumbahan sebaliknya dilepaskan secara terus ke longkang. Begitu jua halnya dengan tindakan tidak mengosongkan tangki septik secara berjadual yang turut berpotensi mencemarkan sumber air dari limpahan sisa kumbahan.

Umum mungkin kurang sedar bahawa saluran longkang di manapun akhirnya akan ke alur air seperti sungai yang kebanyakannya digunakan sebagai sumber air mentah utama di negara ini.

Untuk rekod, 81.3% dari sumber air yang dibekalkan kepada pengguna adalah datangnya dari hampir 200 batang sungai di seluruh negara.

Turut dikekalkan pada video tersebut adalah entiti wanita kebaya biru yang pernah menjadi bualan melalui penampilannya pada video terdahulu (link artikel terdahulu MG) yang diterbitkan SPAN pada oktober 2020 dan kali ini ‘misteri’ tersebut ditambah dengan kemunculan seekor kucing hitam yang membawa penonton menelusuri setiap aspek ‘pencemaran tanpa sedar’ yang merupakan tumpuan utama video kali ini.

Wakil SPAN ketika dihubungi memaklumkan bahawa mereka sentiasa komited dalam mendidik pengguna melalui pelbagai saluran komunikasi termasuk melalui video demi memastikan sumber air bersih dapat dilestarikan. Beberapa lagi siri video dijangka diterbitkan pada tahun ini yang akan turut mengetengahkan pelbagai lagi aspek berkaitan air.

Untuk video penuh,  https://www.facebook.com/span.my/videos/396307111667704.-MalaysiaGazette

Artikel berkaitan : https://malaysiagazette.com/2020/10/29/dendam-wanita-berkebaya-biru/

1 Komen

  1. Mohon SPAN gunakan kuasa dan akta yg ada untuk saman pemilik kedai makan, malah pemilik rumah yang sengaja melepaskan air basuhan sinki atau mesin basuh kedalam longkang.
    Ramai yang bersembang kencang benci pencemar sungai. Padahal dia sendiri cemar sungai tanpa disedari.
    Halau juga kilang2 premis2 yg dibina atas rizab sungai yang pastinya akan lepaskan efluen ke sungai tanpa rawatan.

Comments are closed.