KUALA LUMPUR – Keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 yang diumumkan Transparency International (TI) semalam, dengan skor sebanyak 51/100 dan kedudukan 57/180 negara, menerima maklum balas Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Menerusi kenyataan balas PMO, walaupun skor dan kedudukan negara menurun sedikit daripada tahun 2019, namun perlu ditegaskan, dasar dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta meningkatkan tadbir urus kerajaan adalah jelas dan berterusan.
Seperti mana dimaklumkan peringkat awal pemerintah kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pelan Antirasuah Nasional (NACP) masih diteruskan bagi meningkatkan tadbir urus kerajaan, selain mengurangkan dan menutup peluang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.
“Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti rasuah (JKKMAR) juga sentiasa melihat kepada kaedah dalam meningkatkan tadbir urus dalam pentadbiran kerajaan.
“Malah, kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah serta tindakan tegas akan diambil mengikut prinsip ‘rule of law’,” kata kenyataan itu.
Semalam, Presiden TI-M, Dr. Muhammad Mohan dilaporkan berkata, skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya, dalam tinjauan CPI itu.
Katanya, Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam CPI TI bagi 2020.
“Malaysia mungkin jatuh dua mata yang secara statistiknya tidak signifikan, tetapi kerajaan harus bimbang dengan penurunan skor dan kedudukan,” kata Dr. Muhammad Mohan. – MalaysiaGazette
















