Mohamed Azmin ALi

KUALA LUMPUR – Perstasi perdagangan luar Malaysia memberangsangkan apabila catatan eksport negara kembali pulih pada separuh tahun kedua 2020 berbanding pertumbuhan negatif yang pada separuh tahun pertama.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perkembangan positif ini berikutan semula ekonomi yang dilaksanakan secara berperingkat oleh kerajaan dan jumlah permintaan luar yang kembali meningkat.

“Ini berlaku kerana langkah membuka semula ekonomi yang dilaksanakan secara berperingkat dan jumlah permintaan
luar yang kembali meningkat. Eksport pada bulan Disember mencatatkan nilai bulanan tertinggi yang direkodkan pada tahun 2020,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Mohamed Azmin, eksport ke China pada tahun 2020 juga telah merekodkan nilai eksport yang tertinggi setakat ini manakala eksport ke Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jumlah eksport terbesar sejak sedekad yang lalu.

“Kita juga menyaksikan pertumbuhan eksport yang signifikan ke beberapa pasaran baharu seperti Costa Rica, Kazakhstan, Kenya, Nigeria, Ghana dan Cote d’Ivoire. Keluaran getah, barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit juga mencatatkan peningkatan eksport yang memberangsangkan,” ujarnya.

Malah katanya, Malaysia juga mencatatkan lebihan dagangan (trade surplus) yang tertinggi pernah dicapai setakat ini dan negara masih mengekalkan lebihan dagangan untuk 23 tahun berturut-turut semenjak 1998.

Prestasi perdagangan Malaysia ujarnya, selari dengan negara di rantau ini khususnya Indonesia, Singapura, Republik Korea (ROK) dan Thailand.

“Nilai perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada tahun 2020 adalah berjumlah RM1.185 trilion, yang mencatatkan penurunan sebanyak 3.7% tetapi menyumbang sebanyak 66.7% kepada jumlah
perdagangan negara, katanya.

Tambah beliau, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah dimeterai baru-baru ini merupakan FTA terbesar dunia bakal membuka peluang baru kepada syarikat dan perniagaan Malaysia kepada lebih daripada satu pertiga pasaran dunia.

“Ini pasti akan menarik pelaburan langsung asing serta dapat memangkin pertumbuhan eksport negara. Mengorak langkah ke hadapan, kebangkitan semula nilai eksport Malaysia membuktikan peningkatan permintaan luar daripada rakan perdagangan utama kita, akan dapat dikekalkan selari dengan aktiviti ekonomi yang pelbagai dengan
industri berteknologi dan bernilai tinggi serta digandakan dengan pendekatan dasar yang holisitik untuk transformasi digital.

“Ini adalah faktor-faktor utama yang menyumbang kepada keyakinan pelabur asing dan didokong oleh pengiktirafan Moody’s terhadap Malaysia dengan penarafan A3 dengan kedudukan stabil sebagai penerbit jangka panjang mata
wang tempatan dan asing,” kata Azmin.

Pada waktu mencabar ini, keutamaan kerajaan ujanya adalah untuk meletakkan kembali hala tuju negara dalam landasan memulihkan semula ekonomi khususnya menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12.-MalaysiaGazette