Mohd Zulkifli Abdul Fatah

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Minoriti (DPM) kecewa dengan tindakan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) membuat laporan polis terhadap dua anak muda yang memuatnaik video bercorak perbincangan dalam laman Facebook Media Mamak Malaysia.

Video tersebut yang memaparkan dua anak muda berbangsa India Muslim, dengan seorang daripadanya sebagai moderator dan seorang lagi memberi penjelasan mengenai pendapat umum terhadap KIMMA.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha DPM, Mohd Zulkifli Abdul Fattah, pihaknya menerima maklumat, Ketua Penerangan KIMMA, Mohaideen Abdul Kadar Mohd Maideen telah membuat laporan polis dan menuduh anak muda itu menghasut orang ramai agar membenci parti berkenaan.

“Saya telah menonton dan dapati video tersebut hanyalah sesi soal jawab antara dua anak muda yang tidak setuju dengan cara KIMMA berpolitik.

“Adakah KIMMA cuba menakutkan anak muda berkenaan supaya mereka tidak bersuara selepas ini? Adakah ini cara KIMMA mengelak daripada kritikan yang akan datang? Dan adakah pendapat anak muda tidak penting bagi KIMMA?

“Berdasarkan tindakan Ketua Penerangan KIMMA ini, jelas jawapan bagi soalan ini adalah ‘ya’. Dalam salinan laporan polis itu, Ketua Penerangan KIMMA menekankan bahawa kedua anak muda ini bukan ahli KIMMA dan tidak faham akan perlembagaan KIMMA,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Rabu lalu, Mohaideen Abdul Kadar membuat laporan di Balai Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur mendakwa, dua lelaki dalam video itu bukan ahli KIMMA dan telah dengan sengaja memprovikatif dan cuba memesong fakta parti itu kepada umum.

Dalam pada itu, Mohd Zulkifli mempersoalkan adakah KIMMA sedar, mereka adalah sebuah parti politik yang berasaskan kaum dan perlu berperanan sebagai wakil masyarakat dalam pemerintahan negara.

Katanya, jika KIMMA boleh mendabik dada dan mengaku mereka satu-satunya wakil bagi kaum India Muslim dalam politik negara, kaum itu juga sepatutnya boleh mengkritik mereka jika tidak menjalankan peranan dengan baik.

“Kenapa perlu jadi ahli? Parti politik mana yang tidak dikritik masyarakat? Adakah ini cara mereka membalas kritikan? Memalukan! Paling menyedihkan adalah tindakan KIMMA untuk menenggelamkan suara anak muda melalui taktik menakut-nakutkan mereka dengan membuat laporan polis.

“DPM pasti akan bersetuju dengan tindakan KIMMA jika video tersebut benar-benar berunsur fitnah, tetapi ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Sejak 2018, kita sudah melihat anak muda berusia 22 tahun menjadi Ahli Parlimen, kita juga sudah melihat anak muda berusia 26 tahun menjadi menteri. Kini, anak muda yang sudah berusia 18 tahun sudah boleh mengundi,” katanya.

Kata beliau, anak muda sekarang sudah semakin meminati dan cerdik politik, bahkan penglibatan mereka dalam kancah politik adalah penting dalam menentukan masa depan negara.

Jadi, mengapa KIMMA masih fikir bahawa anak muda tidak layak bersuara dan mengapa suara golongan itu diabaikan.

Menurutnya, sebagai senior idalam politik, pemimpin KIMMA sepatutnya mendekatkan diri dengan anak muda menerusi dialog dan menjelaskan hala-tuju, pimpin mereka serta membantunya dalam arena politik.

“Anak muda India Muslim perlu sedar hak demokrasi mereka. Mereka ada hak untuk menyokong, ada hak untuk membangkang, yang paling penting mereka ada hak menyuarakan pendapat.

“Dewan Perniagaan Minoriti menyeru anak muda untuk menceburi bidang politik. Cari platform yang sesuai. Selagi ada niat yang baik dan ikhlas, kami yakin anak muda India Muslim ada banyak untuk disumbang kepada negara dan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast