C. Sivarraajh

KUALA LUMPUR – MIC tidak perlu dan tidak akan takut dengan sesiapa, hatta Pas sekalipun, kata Naib Presidennya, Datuk C. Sivarraajh.

Malah, katanya, pada Ahad minggu lalu, Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran pernah menyatakan parti itu sukar untuk kerjasama dengan Pas di Kedah dan dibuat kenyataan itu secara terbuka.

“Jadi, tidak timbul soal MIC ‘dikawal’ oleh Pas di Kedah dan pusat kerana takut hilang kedudukan dalam kerajaan.

“Bagi MIC, jika sesuatu tindakan itu tidak menghormati masyarakat India, kita akan tetap bersuara, tidak kira yang menegur itu kawan ataupun lawan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Ketua Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad semalam, yang menyifatkan C. Sivarraajh sengaja mengelak dari memberi jawapan tepat mengenai pendirian parti itu berhubung isu pergerakan pedati sambutan Thaipusam di Pulau Pinang dan Kedah.

Muhamad Arafat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta menegaskan, tindakan itu seolah-olah parti kaum India terbesar berkenaan ‘dikawal’ oleh Pas di Kedah dan pusat kerana takut hilang kedudukan dalam kerajaan.

Menurut C. Sivarraajh, Muhamad Arafat tidak pernah membaca pelbagai kenyataan balas dari kepimpinan tertinggi MIC termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden berhubung isu cuti Thaipusam di Kedah terhadap Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md. Nor dan Pas.

Katanya, selain Presiden, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan juga telah mendesak kepimpinan Pas sekolahkan Muhammad Sanusi supaya belajar menghormati sensitiviti keagamaan melalui kenyataannya pada 21 Januari lalu.

Tidak cukup dengan itu, kata beliau, pelbagai lagi kenyataan mengkritik tindakan Menteri Besar Kedah itu secara terbuka oleh kepimpinan MIC di semua peringkat.

“Jadi, apa yang Arafat cuba maksudkan dengan MIC takut dengan Pas?

“Saya pelik dengan sikap pemimpin PKR ini yang tiba-tiba hendak ambil peduli mengenai hal ehwal MIC dan Pas, sedangkan sebelum ini, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, tidak pernah sekali pun beliau keluarkan kenyataan menegur kepimpinannya yang menyusahkan rakyat.

“Tidak pernah pun saya lihat Arafat tegur Tun Dr. Mahathir Mohamad biarpun bekas Perdana Menteri itu tidak tunaikan janjinya untuk menjadikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri,” ujar beliau.

Katanya, beliau juga tidak pernah melihat ADUN berkenaan menegur mana-mana menteri PH yang bertindak salah termasuk menipu soal kelayakan akademik, menipu manifesto, memotong pelbagai bantuan rakyat dan sebagainya.

“Mengapa beliau berdiam ketika itu? Takut hilang kerusi? Takut kepada DAP dan Bersatu?

“Pesanan saya kepada Arafat, usahlah menggunakan isu keagamaan untuk mengaut keuntungan politik PKR.

“Hakikatnya sebahagian besar rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap PKR akibat penipuan berterusan kepimpinan parti itu kepada rakyat bermula dari isu manifesto sampai ke isu “I have strong, formidable and convincing majority” baru-baru ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast