Inilah cuka kayu dari sisa biomas kelapa sawit yang dihasilkan oleh satu kumpulan penyelidikan dari Sekolah Kejuruteran Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

MALAYSIA menghasilkan 112 juta tan tandan buah segar kelapa sawit diproses pada tahun 2019. Daripada setiap tan minyak sawit yang dihasilkan, empat tan sisa biomas kelapa sawit (SBKW) akan terhasil.

Antara pendekatan biasa bagi pengurusan SBKW ini termasuklah teknik pengambusan tanah, pengkomposan, penukaran kepada baja, bahan asas bagi penghasilan bahan bakar serta digunakan sebagai makanan haiwan dan terbaharu ialah teknik pirolisis.

Pirolisis merupakan satu teknik yang turut boleh digunakan bagi mengatasi masalah pengumpulan SBKW. Ia boleh ditakrifkan sebagai proses perawatan terma bagi tujuan degradasi bahan organik yang terdapat dalam sisa biomas dan dijalankan pada suhu tinggi dan tanpa kehadiran oksigen, dan akan menghasilkan komponen pepejal (bio-arang), cecair (bio-minyak, tar, cuka kayu) dan gas.

Ujian anti anai-anai oleh Pegawai Penyelidik Kanan UTM,. Maizatulakmal Yahayu.

Satu kumpulan penyelidikan dari Sekolah Kejuruteran Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zainul Akmar Zakaria telah melaksanakan pelbagai kajian berkenaan aplikasi cuka kayu SBKW ini.

Melalui kajian ini, kumpulan penyelidikan UTM telah menjalankan ujikaji proses pirolisis menggunakan bahan mentah iaitu sisa biomas kelapa sawit untuk menghasilkan cuka kayu. Daripada output (cuka kayu) yang terhasil, mereka menjalankan ujikaji terhadap aplikasi cuka kayu tersebut di pelbagai lapangan.

Cuka kayu terhasil melalui proses kondensasi wap semasa proses pirolisis dijalankan. Ia merupakan campuran air (80-90 %) dan sebatian organik (10-20 %). Komposisi unik ini yang membolehkan ia diaplikasikan untuk pelbagai kegunaan.

Kajian ini telah mendapat kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia serta sokongan kewangan dari Kementerian Pengajian Tinggi melalui dana Universiti Penyelidikan dan dana Skim Geran Penyelidikan Fundamental.

Hasil penyelidikan Dr. Zainul dan kumpulan penyelidikannya ini telah berjaya memperolehi perlindungan paten di bawah MyIPO serta turut telah memenangi hadiah dalam beberapa ekspo inovasi R&D tempatan mahupun antarabangsa.

Melalui kajian tersebut, mereka telah berjaya membuktikan potensi aplikasi cuka kayu dari SBKW ini sebagai agen-anti pengoksidaan. Kandungan fenolik yang tinggi dipercayai bertanggungjawab bagi sifat anti-oksidan ini dan telah
dibuktikan, melalui ujikaji makmal, untuk mempunyai potensi setanding dengan agen anti-oksidan komersil seperti Vitamin C.

Selain daripada itu, cuka kayu dari SBKW juga telah dibuktikan mempunyai keupayaan sebagai agen anti-bakteria dan anti-biofilem bagi spesis seperti Escherichia coli (E.coli), Bacillus cereus dan Staphylococcus aureus yang merupakan bakteria berbahaya dan sering dijumpai di persekitaran yang tercemar. Cuka kayu dari SBKW turut terbukti keberkesanannya sebagai agen anti-fungi.

Dalam satu lagi kajian yang dilaksanakan oleh Dr. Khoirun Nisa Mahmud, salah seorang penyelidik beliau bersama dengan Prof. Madya Dr. Najihah Mohd. Hashim dari Universiti Malaya, cuka kayu dari SBKW telah menunjukkan potensi besar untuk digunakan sebagai agen anti-keradangan berdasarkan
keberkesanan komponen fenolik dalam cuka kayu untuk merencatkan penghasilan nitrik oksida, suatu elemen penting untuk isu keradangan, dalam sel.

Sungguhpun begitu, lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum produk cuka kayu dari sisa biomas kelapa sawit ini boleh dipasarkan, terutamanya yang melibatkan kegunaan terhadap kesihatan manusia. Sokongan berterusan dari pihak pemegang-taruh yang berkaitan adalah amat diperlukan bagi memastikan
khazanah dari sisa aktiviti perladangan tempatan ini dapat dimanfaatkan untuk negara.

Sebagai sebuah negara pengeluar dan pengeksport minyak kelapa sawit kedua terbesar di dunia, inilah masanya untuk Malaysia mengambil peluang untuk memanfaatkan cuka kayu dari SBKW bagi menambah hasil negara serta menjadi pelopor kepada penyelidikan dalam bidang ini.

Prof. Madya Dr. Zainul Akmar Zakaria
Pensyarah Kanan
Fakulti Kejuruteraan dan ahli UTMShine,
Universiti Teknologi Malaysia