Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyempurnakan gimik “flag off” pada Program YADIM Peduli Musaadah 2.0 Misi Bantuan Pasca Banjir di Kompleks Islam Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 02 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak menolak kemungkinan untuk mengambil pandangan jabatan agama di negeri-negeri terlebih dahulu sebelum memfatwakan sesuatu ajaran termasuk terbaharu dakwaan ada agama Melayu sebagai sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya tidak mahu tergesa-gesa dalam menghukum sesiapa sebelum mengambil kira pandangan pihak berkuasa agama negeri.

“JAKIM akan menggunakan satu saluran untuk sama-sama kita bincang dan kita rumuskan satu keputusan antara pihak JAKIM dan juga pihak negeri.

“Ia supaya kita dapati apa yang akan kita lakukan itu atau apa yang akan diambil itu benar-benar tepat dan tidak dianggap sebagai gopoh atau tidak mempunyai maklumat,” katanya kepada pemberita selepas Program YADIM Peduli Musa’adah PKP 2.0 di pekarangan Kompleks Islam hari ini.

Pada Jumaat lalu, Wan Noor Hayati Wan Alias mendesak Nasruddin meminta maaf dan memberi tempoh tujuh hari kepada Yang Dipertuan YADIM, Nasruddin Hassan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Ini selepas Nasruddin mendakwa penerima anugerah Kajai itu membawa ajaran sesat dan agama baharu.

Wan Noor Hayati, 41, yang juga dikenali sebagai Ibu Yati sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang saman sivil terhadap YADIM.

Ia susulan penularan video berdurasi lapan minit lima saat yang menunjukkan Wan Noor Hayati didakwa menggunakan lafaz syahadah yang pelik.

Antara lafaz itu ialah iLa Ha iLa Ra iLa Ma dan disambung dengan pengakuan ‘Aku Melayu’ sebanyak tujuh kali.

Menurut Zulkifli, isu ajaran sesat sebelum ini pun telah diputuskan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan perkara itu akan diuar-uarkan kepada masyarakat umum.

“Cuma kita tidaklah nak menyatakan sesuatu itu dengan sepantas itu melainkan perkara yang telah disepakati. Saya cukup berhemah dan cukup berhati-hati dalam masalah ini kerana mengambil pandangan Imam Malik selama mana dapat takwil.

“Kita cuba takwil yang baik-baik dahulu melainkan perkara itu memang perkara yang jelas atau perkara itu telah dikeluarkan satu fatwa atau warta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu Yati patut minta maaf, bukan saya – Nasruddin