Gambar hiasan

CAPE TOWN – Jumlah pemburu haram badak sumbu di Afrika Selatan menurun sejak sekatan pergerakan bagi membendung Covid-19.

Tahun lalu, sebanyak 394 ekor badak dibunuh untuk mendapatkan tanduk, susut 33% daripada 594 ekor badak yang dibunuh pada tahun sebelumnya, kata Kementerian Alam Sekitar.

Sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh Afrika Selatan telah mengehadkan pergerakan pemburu haram dan penyeludup tanduk badak, tambahnya.

Ini adalah tahun keenam yang mencatatkan penurunan insiden tersebut.

“Namun trend ini berubah pada akhir tahun ketika sekatan pergerakan dilonggarkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ahli-ahli konservasi telah memberi amaran bahawa populasi badak di Afrika Selatan telah merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan pemburuan haram masih menjadi masalah besar.

Menteri Alam Sekitar Barbara Creecy mengatakan langkah-langkah ketat untuk mencegah penyebaran jangkitan koronavirus tahun lalu telah menyebabkan “pengurangan yang signifikan dalam pemburuan haram” di Taman Nasional Kruger yang terkenal di dunia.

Taman negara itu berletak di sempadan Mozambique.

Creecy menambah ketika “keadaan luar biasa dilaksanakan bagi menangani pandemi Covid-19” telah menyumbang pada penurunan perburuan liar pada tahun 2020, renjer, anggota keselamatan dan kerajaan perlu berusaha untuk mengatasi masalah ini dengan memainkan “peranan penting”.

Afrika Selatan adalah habitat bagi sekitar 80% populasi badak tetapi ratusan ekor terbunuh setiap tahun disebabkan pemburuan tanduk badak yang dijadikan ramuan dalam perubatan dan ubat-ubatan herba. – MalaysiaGazette